Ismail Sabri akui kecewa ada rakan Kabinet Umno tidak dicalon semula 


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jasa mereka tidak akan dilupakan lebih-lebih lagi apabila mereka tidak menentang parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mengakui berasa agak kecewa sebelum ini apabila ada rakan dalam Kabinet beliau daripada Umno tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib presiden Umno itu berkata biarpun tidak terpilih, ada dalam kalangan mereka masih kekal setia bersama parti dan bersedia memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Jasa mereka kita tidak akan lupa lebih-lebih lagi apabila mereka tak dapat bertanding, mereka tidak menentang parti.

“Saya sendiri pun berasa agak kecewa apabila rakan yang merupakan calon boleh menang dan berjasa kepada parti tidak dapat bertanding,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Selangau hari ini.

Empat menteri Kabinet Umno yang tidak dicalonkan semula ialah Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamad Saddique.

Shahidan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional-PAS untuk mempertahan kerusi Parlimen Arau yang dimenanginya dalam PRU14.

Ditanya jika mereka yang tidak dicalonkan semula dan membuktikan kesetiaan kepada parti akan dilantik memegang peranan penting jika BN menang, Ismail Sabri berkata: “Beri kita kemenangan dulu dan kita akan buat keputusan selepas itu.” – Bernama, 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen