Letak Husam di kerusi PKR cetus konflik dalam Pakatan, kata pimpinan di Pasir Mas


Diyana Ibrahim

Sumber berkata beliau tidak menolak pengaruh kuat Husam Musa mampu menarik sokongan pengundi kepada PH di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) mencalonkan pemimpin Amanah Husam Musa bertanding atas kuota PKR di kerusi Parlimen Pasir Mas melebarkan konflik dalam gabungan itu di Kelantan, dakwa pemimpin akar umbi Amanah dan PKR.

Pencalonan Husam mengecewakan ahli Amanah di Kelantan dan tidak pula begitu disukai beberapa pemimpin PKR negeri, kata mereka.

Seorang pemimpin akar umbi Amanah memberitahu The Malaysian Insight perpecahan dalaman itu kelihatan dalam gerak kerja jentera parti yang berpecah dua – antara kumpulan yang sealiran dengan Husam dan yang tidak sehaluan.

“Memang orang luar tidak nampak sangat, tapi ia berlaku terutama apabila dalam tempoh berkempen… nampak perpecahan itu.

“Jentera kumpulan Husam hanya tertumpu kepada mereka dan begitu juga sebaliknya… maksudnya gerak kerja kita adalah berasingan,” kata sumber yang enggan namanya disebut.

Sumber menamakan kumpulan yang sealiran dengan Husam terdiri antaranya calon parlimen Kota Bharu, Hafidzah Mustakim; calon Kuala Krai, Mohd Hisyamuddin Ghazali; calon Kubang Kerian, Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah, dan calon Rantau Panjang, Wan Shah Jihan Wan Din.

Katanya, dakwaan mereka ini kumpulan Husam “nampak sangat ketara” pada hari Amanah Kelantan mengumumkan calon parti yang akan bertanding pada PRU15.

“Husam dilihat menguar-uarkan calon yang sealirannya, letak di Facebook walaupun pengerusi Amanah sendiri belum buat sebarang kenyataan.

“Tapi untuk calon lain tidak sepasukan dengannya beliau tidak pula mahu buat begitu,” katanya.

Sumber bagaimanapun menjelaskan konflik dalaman Amanah ini nampak terkawal kerana masing-masing sedang cuba memenangkan PH di Kelantan. Beliau bagaimanapun bimbang konflik bertambah buruk selepas pilihan raya umum ini.

Perpecahan dalaman PHdi Kelantan boleh dilihat dalam gerak kerja jentera parti yang berpecah dua, iaitu kumpulan sealiran dengan Husam Musa dan yang tidak sehaluan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

PH tidak menang satu kerusi Parlimen pun pada PRU14 malah calon-calonnya antara 10 calon kerusi Parlimen yang hilang pertaruhan di Kelantan, selain 38 calon kerusi negeri termasuk calon bebas.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR menafikan pemilihan Husam bertanding kuota partinya akan menimbulkan konflik dalaman gabungan.

Husam letak jawatan naib presiden Amanah dan pengerusi PH Kelantan pada September 2020. Alasannya ketika itu memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di Parlimen Kota Bharu, kawasan yang diketuainya.

Husam kemudian menggerakkan sebuah badan atas nama Save Kelantan, yang mendedahkan pelbagai kepincangan kerajaan negeri yang ditadbir PAS sejak lebih tiga dekad.

Amanah Kelantan juga selepas itu menjarakkan diri daripada Save Kelantan. Pimpinan parti negeri menegaskan mereka tidak terlibat dengan gerakan diketuai Husam.

Sumber percaya penglibatan Husam dengan Save Kelantan, yang dilihat membelakangkan Amanah, antara sebab beliau tidak dicalonkan oleh parti bertanding pada pilihan raya umum ini.

“Gerakannya dalam Save Kelantan dilihat cuba melangkaui kepimpinan Amanah itu sendiri dan kenyataannya juga sebelum ini, apabila dia kata ‘jangan undi calon Amanah jika ada ada lebih baik’.

“Kenyataan itu menimbulkan tidak senang hati dalam kalangan rakan-rakan,” katanya.

Selain Husam, PKR juga memilih Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon PH di Pasir Salak, Perak.

Masih ahli Amanah

Seorang lagi pemimpin akar umbi berkata Husam sebenarnya masih menjadi ahli Amanah dan hanya bertanding bagi tiket PKR.

Pemimpin yang juga tidak mahu dinamakan berkata status keahlian Husam akan diputuskan oleh pucuk pimpinan selepas PRU15.

“Husam masih lagi menjadi ahli Amanah, beliau masih belum menyertai PKR begitu juga dengan Nik Omar.

“Parti buat ketetapan hal itu tidak sesuai dibincangkan sekarang, ia akan diputuskan selepas PRU15,” katanya.

Sumber menjelaskan sebelum pilihan raya negeri Johor awal tahun ini, PH membuat ketetapan tidak membenarkan pertukaran keahlian parti antara parti dalam gabungan kecuali dengan persetujuan pucuk pimpinan.

“Mungkin pucuk pimpinan akan merujuk ketetapan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin akar umbi PKR juga kurang senang dengan tindakan Husam yang dianggap menggunakan hubungan baiknya dengan Anwar untuk dapat kerusi bertanding di Pasir Mas.

Katanya, PKR Kelantan sudah memilih Dr. Rosli Allani S. Abdul Khadir untuk bertanding di Pasir Mas tetapi kemudian terpaksa ditukar berlawan di Machang.

“PKR negeri tidak tahu pasal ini. Kita tahu petang sebelum malam pengumuman calon, menyebabkan kita sendiri terpinga-pinga dan membuat pertukaran untuk memujuk Dr Rosli bertanding di Machang,” kata sumber.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR menafikan pemilihan Husam bertanding kuota partinya akan menimbulkan konflik dalaman gabungan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

Sumber menjelaskan selain soal kerusi PRU15 ini pun Husam juga menggunakan hubungan baiknya dengan Anwar sehingga jadual kempen PH jadi celaru.

“Seperti contoh jelajah mega PH Anwar Ibrahim di Pantai Timur, Anwar turun di Pasir Mas. Sebelum ini Anwar ada turun juga (di Pasir Mas), dan jadual kita untuk kali kedua ini kita tak letak pun Pasir Mas.

“Tapi tiba-tiba kita dapat tahu yang Anwar juga akan ke sana, jadi agak kacaulah sikit jadual itu,” katanya.

Bagaimanapun sumber tidak menolak pengaruh kuat Husam mampu menarik sokongan pengundi kepada PH.

“Auranya kita tak boleh nafi, semua pun akui, Husam ini ada pengaruh sendiri yang boleh menyumbangkan kemenangan kerusi di Pasir Mas, pengaruh Husam cukup kuat.

“Mungkin ini dilihat oleh presiden, biarpun kita tidak suka tapi terpaksa lah akur,” katanya.

Husam mencabar Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaary yang bertanding bagi Perikatan Nasional bersama calon Barisan Nasional Ab Ghani Harun dan calon Gerakan Tanah Air Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Pada PRU14, Ahmad Fadhli meraih 53 peratus undi, menang dengan majoriti 13,075 undi (24%) mengatasi pesaing terdekat calon BN Nor Azmawi Ab Rahman. Dua calon lagi, termasuk calon PH, hilang wang pertaruhan di Pasir Mas. – 15 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen