Husam minta Dr Mahathir berhenti tentukan syarat kerjasama politik


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad tidak boleh sekali lagi mahu menentukan syarat kerjasama politik pembangkang, kata Husam Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menentukan syarat kerjasama jika niatnya memang benar mahu menyelamatkan negara ini, kata Husam Musa.

“Mengapa kita perlu ikut syaranya untuk khemah besar?” tanya Husam di Putrajaya, hari ini.

“Jika dia benar-benar bimbangkan keadaan negara ini, dia perlu cari jalan untuk bekerjasama dan bukannya cuba menentukan syarat lagi,” kata bekas naib presiden Amanah itu.

Husam yang kini menerajui gerakan Save Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan dikeluarkan pengerusi Pejuang itu semalam.

Pada Jumaat, Dr Mahathir berkata Pejuang terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain pada pilihan raya umum akan datang selagi mana Anwar Ibrahim atau Muhyiddin Yassin tidak mengetuainya.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Dr Mahathir menyifatkan kedua-dua presiden PKR dan Bersatu itu sebagai “tidak lurus” dan mempunyai agenda peribadi.

Tetapi Husam – tokoh utama yang membolehkan Dr Mahathir mengetuai Pakatan Harapan pada pilihan raya lepas- mempersoalkan motif sebenar ahli Parlimen Langkawi itu.

“Bukankah dia juga cuba mendahulukan dirinya juga? Apa salahnya dengan syarat orang lain?”

Konflik jawatan perdana menteri antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dipercayai antara punca tumbangnya Pakatan Harapan di Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

Pembangkang yang terdiri daripada PH, Pejuang, Warisan, Muda dan Bersatu sedang mempertimbangkan peluang kerjasama pada PRU15, selepas Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak menang besar di tiga pilihan raya negeri di Melaka, Johor dan Sarawak.

Bekas exco Kelantan berusia 73 tahun itu turut menyalahkan Dr Mahathir kerana kejatuhan PH pada 2020.

“Sebelum PRU14, Dr Mahathir menandatangani perjanjian untuk menjadi perdana menteri hanya selama dua tahun sebelum menyerahkannya kepada Anwar. Jika dia buat begitu, situasi sekarang tidak akan wujud.”

Kejayaan Pakatan Harapan pada PRU14 kini sukar diulang semula disebabkan konflik dalaman tidak berkesudahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2022.

Husam berkata beliau sendiri melihat perjanjian itu – yang kini disimpan oleh secretariat PH- yang ditandatangani oleh Muhyiddin, Dr Mahathir, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

“Dan pada mesyuarat terakhir majlis presiden PH pada 21 Februari 2020 (sebelum Langkah Sheraton), Anwar yang menggesa Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri.

“Tetapi pada Isnin, dia letak jawatan tanpa berbincang dengan sesiapa dalam PH” kata Husam lagi.

Husam berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang beliau masih perdana menteri jika PH mengundinya berbanding Anwar pada 2020.

Tetapi Husam menjelaskan, semua ini cerita lepas dan semua parti politik sudah perlu bergerak ke hadapan.

“Jangan cakap tentang bagaimana hendak dahulukan diri kita dalam parti. Itu perkara kedua. Tugas utama sekarang adalah mencari cara mengembalikan keyakinan pengundi kepada kita.” – 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen