Pamer solidariti, jaga nama baik parti, kata Ismail Sabri


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pertikaian antara pemimpin boleh menimbulkan spekulasi berkaitan calon dan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menasihatkan calon Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mempamerkan semangat solidariti dan menjaga nama baik parti dalam berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata rakyat memerhati sepanjang tempoh berkempen dan pertikaian antara pemimpin boleh menimbulkan spekulasi berkaitan calon dan parti. 

Katanya fokus utama parti dan pemimpin parti ketika ini seharusnya adalah untuk memastikan kemenangan semua calon BN supaya parti memperoleh jumlah kerusi yang dominan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

“Tidak kira siapa dalam Umno dan BN, tumpuan kita adalah untuk menang… saya harap perkara-perkara lain itu diketepikan kerana yang penting solidariti dalam UMNO dan BN mesti ditonjolkan…

“Apa pun yang kita buat, yang penting untuk kita sama-sama menjaga nama baik parti dan tingkatkan keyakinan rakyat kepada parti supaya menang menjadi parti dominan (selepas PRU15),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Batu Papan di Bera hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas ‘situasi panas’ antara Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin yang saling berbalas kenyataan berhubung keputusan meletakkan Menteri Kesihatan itu bertanding di kerusi berkenaan. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen