Ismail Sabri arah semua agensi bantu mangsa terjejas banjir


Sebuah kereta meredah banjir yang melanda Klang, Selangor. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi membantu mangsa yang ditimpa banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau perdana menteri turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Angkatan Pertahanan Awam ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam… Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku selain mematuhi setiap arahan agensi keselamatan selain peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.

Setakat 9 malam ini tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa. – Bernama, 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen