Pejuang ikrar tubuh kerajaan amanah, bebas rasuah


Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu berikrar akan menubuhkan kerajaan berwibawa dan bebas rasuah sekiranya berjaya menang PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

PEJUANG berikrar akan menubuhkan kerajaan berwibawa dan bebas rasuah sekiranya berjaya menang PRU15, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Ia antara lima perkara asas diumumkan sebagai manifesto Pejuang malam ini selepas kempen PRU15 masuk hari keenam.

Katanya, ikrar itu ringkas agar kerajaan tidak terbeban dengan janji yang tidak dapat dipenuhi.

“Dari pengalaman yang lepas, kami dapati, apabila terlampau banyak janji dan jika janji-janji itu melangkaui keupayaan, ianya hampir pasti tidak dipenuhi.

“Jika ianya dipenuhi, ia pasti akan membebankan Kerajaan sehingga ada kepentingan awam yang terpaksa diketepikan demi memenuhi janji yang dibuat,” katanya.

Dalam perutusannya kepada pengundi, Dr Mahathir berkata prinsip bersih, cekap dan amanah itu akan menjadi teras segenap lapiran pentadbiran kerajaan.

Selain itu, kerajaan baharu itu juga akan memajukan ekonomi Malaysia agar negara menjadi Harimau Asia semula, katanya.

Tambahnya, kerajaan baharu juga akan mempertahankan integriti dan kedaulatan undang-undang, tambahnya dalam satu perutusan kepada pengundi.

“Kami percaya, jika kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi,” katanya.

Pejuang juga menjamin setiap rakyat akan mendapat keadilan yang sewajarnya tanpa pilih kasih, kata Dr Mahathir.

Ia bagi mengelak “keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari”, katanya.

Parti itu juga menjamin kebebasan kepada rakyat yang diperuntuk dalam perlembagaan akan dihormati.

“Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam perlembagaan akan dipertahankan,” katanya.

Butiran lanjut bagi mencapai matlamat tersebut akan diperinci kemudian, katanya.

Ikrar ringkas tersebut jauh berbeza dengan manifesto parti lain yang mengandungi butiran terperinci mencakupi pelbagai aspek pentadbiran. – 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen