Tiada perpecahan dalam Umno, kata Ismail Sabri


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata naratif dimainkan pembangkang bahawa calon perdana menteri daripada BN selepas PRU-15 adalah Ahmad Zahid Hamidi adalah fitnah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata tiada perpecahan dan persengketaan berlaku dalam Umno dan parti komponen termasuk antara dirinya dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata naratif yang dimainkan pembangkang bahawa calon perdana menteri daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah Ahmad Zahid adalah fitnah yang sengaja dibuat pembangkang untuk mengelirukan rakyat dan mewujudkan perpecahan dalam BN.

Sehubungan itu beliau berharap kenyataan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti dalam BN termasuk Ahmad Zahid, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC SA Vickneswaran dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dapat menghentikan fitnah tersebut.

“Persepsi yang cuba dicipta pembangkang adalah palsu dan fitnah semata-mata dan tidak lain tidak bukan bertujuan hendak memecah-belah dan mewujudkan persengketaan dalam Umno. Tetapi Alhamdulillah, solidariti Umno sebulat suara dan kita tidak terpengaruh dengan persepsi dibawa pembangkang. 

“Tiada perpecahan antara kepimpinan Umno dan antara saya dengan Dr Ahmad Zahid juga tidak ada masalah,” katanya dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera hari ini.

Semalam Ahmad Zahid menegaskan dan mengulangi pendirian BN bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon tunggal BN sebagai perdana menteri selepas PRU-15. 

Sebelum ini timbul isu “satu undi BN = satu undi Zahid sebagai PM” iaitu dakwaan setiap undian kepada calon BN adalah undian untuk menjadikan Presiden Umno itu yang juga calon BN di Parlimen Bagan Datuk menjadi perdana menteri selepas PRU15. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen