PRU15: Malaysia melangkah ke wilayah baru yang samar


Ruhan Shahrir

BARU dan samar. Itulah antara kata sifat yang boleh dinukil untuk memerikan Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU15) pada kali ini. 

Pilihan raya sebagai salah satu daripada mekanisme amalan demokrasi bukanlah baru di negara kita. Bermula sejak tahun 1955, ia menjadi suatu bentuk konvensi atau kelaziman di dalam kehidupan bernegara pada setiap lima tahun sekali. 

Ini adalah suatu hakikat yang seharusnya kita bangga sebagai warga Malaysia. Berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara, Malaysia tidak pernah memungkiri kelaziman ini. 

Namun kelaziman tersebut pada kali ini berhadapan dengan suatu wilayah baru yang sukar untuk dijangkakan. Samar.

Wilayah baru yang akan diteroka di dalam PRU15 kali ini melibatkan sejumlah unsur-unsur (bahasa akademiknya: pembolehubah-pembolehubah/variables) yang jarang atau tidak pernah wujud sebelum ini. 

Justeru itu, apakah natijahnya setelah tarikh pembuangan undi pada 19 November 2022 melabuhkan tirai, sukar untuk diramalkan.

Pengundi Muda

Pertama, sudah tentu wilayah baru ini melibatkan pengundi-pengundi muda dan mereka yang telah didaftarkan secara automatik di dalam Daftar Pemilih SPR.

Menurut maklumat SPR, jumlah pengundi muda dan pengundi kali pertama (first time voter) yang berumur antara 18-29 tahun adalah seramai 6,007,978 orang, yakni lebih kurang 30% daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar. 

Suatu jumlah yang cukup besar dan berpotensi menjadi unsur penentu kepada keputusan PRU15 nanti. 

Siapa mereka, apa latarbelakang mereka, apa kecenderungan politik mereka, apa perwatakan mereka, apa nilai-nilai hidup yang menjadi panduan mereka, apakah mereka dipengaruhi oleh sentimen etnik atau agama, sejauh mana akses mereka terhadap maklumat politik, siapa dan parti mana yang akan mereka undi di PRU15 nanti, semuanya masih samar.

PRU15 kali ini akan melibatkan pengundi-pengundi muda dan mereka yang telah didaftarkan secara automatik di dalam Daftar Pemilih SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Protes Jalanan

Kedua, sejak fenomena Reformasi 1998, PRU15 pada kali ini tidak didahului dengan siri-siri perhimpunan, protes dan demonstrasi jalanan besar-besaran sebagai suatu bentuk penggemblingan sentimen dan mood rakyat menuju ke peti undi.

Sebaliknya, menuju PRU15, suasana politik seperti agak sejuk dan hanya mulai suam ketika pembubaran parlimen diisytiharkan oleh Perdana Menteri.

Bahang panasnya mungkin hanya akan terasa ketika kempen rasmi dimulai selepas penamaan calon. 

Ini berbeza dengan kebanyakan PRU-PRU pasca-Reformasi 1998, yang bahang panasnya sudah bermula setahun dua sebelum parlimen dibubarkan lagi menerusi gerakan-gerakan protes jalan raya yang acap kali dilakukan dengan gencar. 

Buat pertama kalinya, tidak ada perhimpunan Reformasi, Black14, Makkal Sakti, BERSIH, 1MDB, Kita Lawan, dan pelbagai siri-siri protes jalanan yang lainnya seperti PRU-PRU pasca-Reformasi 1998. 

Apakah kesannya kepada pengundi-pengundi apabila penggembelingan sentimen dan mood tidak dibina menerusi protes-protes jalan raya? Samar.

PRU15 pada kali ini tidak didahului dengan siri-siri perhimpunan, protes dan demonstrasi jalanan besar-besaran sebagai suatu bentuk penggemblingan sentimen dan mood rakyat menuju ke peti undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Tiada musuh bersama

Ketiga, PRU15 pada kali ini tidak menampilkan suatu sosok musuh bersama yang jelas dan ketara buat parti-parti pembangkang khususnya. 
Umumnya sasaran serangan, asakan dan kebencian akan ditumpukan kepada pemegang jawatan tertinggi negara, yakni Perdana Menteri. 

Namun, simbol kebencian pada pilihan raya kali ini kelihatannya terpencar dan rencam. Tiada satu sosok utama yang dapat dijadikan tumpuan kebencian, serangan dan asakan. 

Kalau pada PRU10, Mahathir adalah tumpuan serangan, asakan dan kebencian. PRU11 dan 12 pula, Pak Lah dijadikan sosok untuk diperlekehkan. 

Manakala pada PRU13 dan 14, musuh bersama parti-parti pembangkang dihalakan kepada Najib dan isteri beliau Rosmah sebagai simbol kebencian. 

Oleh kerana sifat kerajaan pasca-PRU14 yang bertukar-tukar, disusuli pula dengan tiga perdana menteri yang berbeza hanya dalam tempoh kurang lima tahun, maka pemilihan sosok mana yang seharusnya dijadikan tumpuan serangan, asakan dan kebencian tidak dapat diolah secara kemas dan tuntas. 

Ketiadaan musuh bersama yang jelas, tuntas dan disepakati bersama adalah juga sebahagian daripada unsur yang menyebabkan PRU15 pada kali ini menjadi samar untuk diramalkan.

Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor menjadi musuh bersama yang jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Semua pernah jadi kerajaan

Keempat, buat pertama kali terdapat tiga gabungan utama yang bersaing di dalam PRU15 – Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). 

Ketiga-tiga gabungan ini pernah memegang kuasa di Putrajaya dan menjadi kerajaan Persekutuan. 

Justeru, dalam konteks ini PH dan PN tidak lagi menjadi pembangkang tulen kerana mereka telah pun mengecap kuasa di tingkat persekutuan. 

Ini tentunya akan memberi kesan dari sudut penilaian (sama ada menerusi fakta atau propaganda) oleh pengundi-pengundi terhadap 22 bulan pemerintahan kerajaan PH, 18 bulan kerajaan PN dan lebih kurang 60 tahun kerajaan BN di Putrajaya.

Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pernah memegang kuasa di Putrajaya dan menjadi kerajaan Persekutuan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Sabah, Sarawak

Kelima, ketiga-tiga gabungan utama parti politik ini (PH, PN dan BN) dipimpin oleh parti-parti dari Semenanjung yang hubungannya dengan parti-parti utama dari Borneo (Sabah dan Sarawak) pada PRU15 kali ini berada di dalam ikatan yang lebih longgar dan rapuh. Tidak ada pemeteraian yang jelas, tuntas dan kejap antara mereka. 

Konfigurasi gabungan politik di Sabah dan Sarawak bukan hanya berlainan tetapi juga tidak mengikut konfigurasi politik di Semenanjung. 

Misalnya Umno yang menjadi musuh kepada Bersatu di Semenanjung menjadi kawan pula di Sabah (rujuk kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh Parti Bersatu dengan Umno Sabah).

Begitu juga dengan Sarawak di mana konfigurasi politik PH di Sarawak berbeza dengan konfigurasi politik PH di Semenanjung. 

Ketiga-tiga gabungan utama parti politik PH, PN dan BN dipimpin oleh parti dari Semenanjung yang hubungannya dengan parti utama dari Borneo pada PRU15 kali ini berada di dalam ikatan yang lebih longgar dan rapuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Secara umumnya apabila gabungan parti-parti utama dari Semenanjung melemah, parti-parti dari Sabah dan Sarawak akan cuba untuk membebaskan diri mereka daripada dominasi parti-parti yang berasal dari Semenanjung. 

Keadaan ini menjadikan persoalan siapa yang akan menjadi kerajaan selepas 19 November 2022 nanti, kabur dan samar. 

Malahan melemahnya parti-parti gabungan dari Semenanjung, menjadikan parti-parti dari Sabah dan Sarawak sebagai penentu atau king maker dalam persaingan merebut Putrajaya. 

Ini bukan lagi samar tetapi hakikat dalam konteks hubungan kuasa. Apabila pusat melemah, yang di tubir akan berusaha untuk memposisikan diri di kedudukan yang lebih strategik dan menguntungkan baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Gabungan berpecah

Keenam, baik parti-parti pembangkang mahu pun parti-parti pemerintah, kedua-dua pihak mengalami perpecahan antara sesama mereka dan gagal untuk membentuk suatu gabungan politik yang kukuh dan sepadu. 

Di pihak pembangkang, parti-partinya terpecah kepada PH + Muda, Parti Pejuang + Gerakan Tanah Air (GTA), Parti Warisan. Manakala di pihak pemerintah pula, parti-partinya terpecah kepada PN dan BN. 

Di samping gabungan-gabungan politik utama yang rencam dan terpencar, terdapat juga parti-parti serpihan dan kecil yang lain misalnya Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dan seumpamanya yang akan turut terjun ke dalam kancah persaingan PRU15. 

Antara calon yang bakal bertanding dalam kerusi Parlimen Batu pada PRU15 akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2022.

Kehadiran pelbagai gabungan parti politik yang rencam dan terpencar menjadikan persaingan pelbagai penjuru tak terelakkan. 

Ini tentunya akan menambah kesamaran dan kerumitan bukan hanya kepada pengundi untuk memilih tetapi juga kepada penganalisis untuk meramal apa yang akan terjadi pada 19 November 2022 nanti. 

Manakala buat parti-parti yang bertanding pula, persaingan untuk merebut undi akan menjadi lebih sengit dan agihan undi yang akan diterima oleh setiap parti akan semakin terpecah. 

Justeru itu, parti mana yang akan memperolehi kerusi parlimen yang terbanyak, jawapannya masih samar.

Perpecahan dalaman

Ketujuh di samping perpecahan yang terjadi antara-parti (inter-party) baik di dalam blok pembangkang mahu pun pemerintah, terdapat juga perpecahan yang agak parah turut berlaku di dalaman-parti (intra-party). 

Hampir semua parti-parti utama mengalami goncangan dan keretakan apabila beberapa nama calon berpengaruh dan dianggap sebagai heavyweight/warlord digugurkan daripada pencalonan oleh parti masing-masing. 

Penguguran nama daripada menjadi calon umumnya adalah suatu perkara biasa. Namun pada PRU15 kali ini penguguran nama calon-calon berpengaruh adalah lebih diakibatkan oleh pertimbangan kuasa dan konflik dalaman parti daripada pertimbangan strategi dan taktik. 

Annuar Musa antara nama besar dalam Umno yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 tidak bertanding di Ketereh, yang disandangnya sejak 2008. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Keadaan ini tentunya akan mengundang sabotaj dalaman oleh mereka dan pengikut-pengikut mereka yang tentunya sedikit sebanyak akan membuatkan keputusan PRU15 menjadi lebih samar. 

Yang lebih merumitkan lagi ialah majoriti daripada parti-parti yang mempunyai konflik dalaman ini adalah parti-parti yang berteraskan Melayu-Islam (Umno/PAS/Bersatu) dan parti-parti yang dipimpin oleh Melayu (PKR/Amanah), manakala DAP sebuah parti yang dipimpin oleh Cina, walaupun mereka turut mempunyai konflik dalaman, tetapi kelihatannya DAP lebih kukuh dan tersusun berbanding dengan parti-parti lain baik yang berada di dalam gabungan PH mahu pun BN/PN. 

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang masih dipengaruhi kuat oleh sentimen etnik dan agama, keadaan di mana terdapatnya sebuah parti pimpinan Cina yang kukuh, tersusun dan kuat, sementara parti-parti teras Melayu dan parti-parti pimpinan Melayu lemah, akan menjadikan rundingan dan tawar-menawar setelah selesai kiraan undi pada 19 November 2022 lebih rumit dan samar. 

Pertimbangan etnik dan agama akan menjadi salah satu unsur penting di dalam pembentukan kerajaan pasca-PRU15.

PH tiada parti teras Melayu

Kelapan, berbanding dengan PRU14 yang lepas di mana PH mempunyai parti teras Melayu di dalam gabungannya (Bersaty/Mahathir), pada PRU15 kali ini PH tidak diwakili oleh parti teras Melayu. 

Kecuali Amanah yang jalur politiknya lebih “Islamik”, PKR, DAP dan UPKO (+ MUDA) adalah parti-parti pelbagai etnik yang tidak meletakkan Melayu/keMelayuan/Islam sebagai teras politik mereka. 

Ramai penganalisis sebelum ini meletakkan faktor Mahathir/Bersatu sebagai salah satu sebab kenapa terdapat peningkatan sokongan daripada masyarakat Melayu yang diberikan kepada PH sehingga mereka berjaya meraih kuasa di Putrajaya pada PRU14 yang lepas. 

Namun pada PRU15 kali ini, tanpa adanya parti teras Melayu bersama-sama PH, sukar untuk diramalkan berapa ramai daripada masyarakat Melayu, sama ada pengundi baru atau lama, yang akan memberikan undi mereka kepada PH. Samar!

Parti teras Melayu dalam blok berlainan

Kesembilan, susulan daripada ketiadaan parti teras Melayu di dalam gabungan PH, masyarakat Melayu pada PRU15 kali ini disajikan pula dengan empat parti teras Melayu yang hadir di luar PH. 

Parti Umno, Bersatu, PAS dan Pejuang masing-masing tergabung di dalam tiga blok politik yang berbeza iaitu BN, PN dan Pejuang/GTA. 

Keadaan ini tentunya akan memecahkan pengundi-pengundi Melayu kepada pelbagai pilihan yang rencam dan terpencar – tiga blok parti teras Melayu di samping parti-parti multi-etnik yang ditawarkan oleh PH dan parti serpihan/kecil yang lainnya. 

Parti mana yang akan menjadi pilihan pengundi-pengundi Melayu pada akhirnya, masih samar. 

Cumanya yang tidak samar ialah hakikat bahawa tanpa sokongan sebahagian besar daripada masyarakat Melayu, mana-mana gabungan parti pun takkan mampu untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil dalam tempoh yang panjang.

Masyarakat Melayu pada PRU15 kali ini disajikan pula dengan empat parti teras Melayu yang hadir di luar PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Pasca pandemik

Yang kesepuluh dan terakhir, PRU15 pada kali ini adalah satu-satunya PRU dalam sejarah Malaysia yang diadakan setelah tiga kerajaan bertukar tangan dan tiga Perdana Menteri bertukar jawatan dalam tempoh kurang lima tahun dan hampir tiga tahun pula kegiatan politik, ekonomi dan sosial secara terbuka di ruang-ruang awam dibatasi akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19. 

Kesan sosiologi dan psikologi terhadap tingkah laku politik masyarakat Malaysia amnya dan pengundi-pengundi berdaftar khususnya akibat daripada pengekangan aktiviti politik, ekonomi dan sosial dalam suatu jangka masa yang lama, sukar untuk dijangkakan. 

Apakah mereka mengalami kelelahan politik melihat percaturan, tikam-menikam dan pengkhianatan yang tak kunjung sudah? 

Apakah mereka masih mempunyai semangat untuk turun mengundi setelah pergerakan mereka dibatasi oleh PKP di dalam tempoh yang lama, apakah mereka sudah muak melihat keadaan politik semasa yang berterusan dilanda krisis? 

PRU15 pada kali ini diadakan selepas hampir tiga tahun kegiatan politik, ekonomi dan sosial secara terbuka di ruang-ruang awam dibatasi akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

Apakah mereka masih mempunyai motivasi yang tinggi untuk membuat pilihan tentang masa depan negara melalui pilihan raya?

Apakah mereka masih menaruh kepercayaan bahawa perubahan mampu dibuat menerusi peti undi?

Siapakah dan parti manakah yang akan mereka undi setelah berhadapan dengan ujian PKP dan pembatasan kegiatan politik, ekonomi dan sosial dalam tempoh yang panjang?

Semua persoalan ini sukar untuk dijawab kerana ia pertama kali hadir sebagai unsur (baca: pembolehubah) pada PRU15 pada kali ini. Samar!

Sepuluh unsur atau pembolehubah yang jarang dan baru muncul ini menjadikan PRU15 sebagai suatu wilayah baru yang samar dan tak terjangkakan. 

Justeru, persoalan selanjutnya ialah bagaimana Malaysia boleh sampai ke titik ini, apakah kesan-kesannya terhadap kehidupan politik negara, apa analisis dan huraian kepada fenomena kerencaman dan keterpencaran politik Malaysia, dan apakah pula makna PRU15 di dalam konteks kehidupan kita sebagai sebuah bangsa?

Ikuti siri-siri analisis khas PRU15 di tulisan yang selanjutnya. – 5 November, 2022.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen