SPRM hanya akan siasat ketua CID jika ada laporan rasmi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) hanya akan menyiasat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Wan Ahmad Najmuddin Mohd jika ada laporan rasmi dibuat, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Akhbar The Star memetik kenyataannya yang mengatakan SPRM hanya mengetahui mengenai kes itu menerusi laporan media.

“Saya baca laporan dan akan menghormati hasil siasatan polis, untuk melepaskan pegawai kanannya daripada sebarang salah laku.

“Tetapi, jika kami terima maklumat lain, kami pasti akan menilainya,” Azam dipetik berkata.

Beliau juga mengatakan jika laporan dibuat, SPRM akan meminta bantuan Bukit Aman untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu.

Jumaat lalu, akhbar Australia, Sydney Morning Herald mendedahkan yang polis Australia merampas AUD$320,000 (RM971,728) daripada akaun Wan Ahmad kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

Wan Ahmad bagaimanapun tidak akan mencabar rampasan itu untuk mendapatkan kembali wangnya. Laporan juga menyebut yang Bukit Aman sudah melepaskannya daripada sebarang tuduhan salah laku selepas siasatan dalaman dilakukan.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pula dalam satu kenyataan mempertahankan Wan Ahmad, mendakwa dia menjual rumahnya di Shah Alam sebanyak RM700,000 dan mendapatkan bantuan beberapa rakan untuk memindahkan wang itu ke Australia.

Fuzi berkata polis mendapat maklumat mengenai akaun bank Wan Ahmad pada 2016 dan siasatan dalaman dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM. – 4 Mac, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen