Bila tarikh PRU14?


Awang Azman Awang Pawi

SPEKULASI tarikh pembubaran Parlimen terus berlangsung memandang tarikh luput Parlimen semakin hampir. Tarikh luput tempoh lima tahun Parlimen akan tamat pada 24 Jun ini.

Namun, persoalan adakah pihak kerajaan akan menunggu tarikh luput secara automatik?

Apabila Parlimen bubar maka dalam tempoh 60 hari pilihan raya perlu diadakan.

Berdasarkan sentimen semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka akan diadakan pada penghujung April atau sebelum bulan Ramadan. Lingkungan tempoh tersebut mempunyai rasional yang tinggi kerana sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mac hingga 5 April selama 20 hari.

Namun, dijangka ada beberapa aspek yang akan berlaku sebelum PRU.

Persempadanan semula

Pentingnya persidangan Dewan Rakyat pada kali ini adalah untuk menentukan persempadanan semula diluluskan. Urusan persempadanan semula lebih mudah dilaksanakan kerana tidak membabitkan perubahan jumlah kerusi Parlimen.

Sekiranya, persempadan semula diluluskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang lebih banyak kerusi semakin cerah, meskipun BN juga mengeluh akibat persempadanan baharu.

Selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat, barulah persempadan baharu akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan. Selepas mendapat perkenan diraja, kemudian proses seterusnya ialah gazet atau pewartaan. Tempoh ini berlangsung dalam beberapa hari sahaja sebelum dikuatkuasa.

Dengan ini, perdana menteri boleh mengumumkan pembubaran Parlimen dan menggunakan persempadanan baharu tersebut.

Rang Undang-Undang 355

RUU355 juga dijangka dibentangkan namun BN akan menilai kesesuaian dan sentimen politik ketika itu sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Pentingnya RUU355 ialah untuk menambat hati pengundi PAS agar kerjasama politik masa akan datang dapat dilakukan.

Bagi PAS, RUU355 penting agar penyokong mereka tidak ramai beralih arah kepada parti Amanah.

PAS dilihat akan mengadakan kerjasama politik bersama di Kelantan dan sekiranya tidak cukup kerusi membentuk kerajaan akan datang.

Peranan PAS pada PRU14 kali ini penting bagi BN sebagai pemecah undi Pakatan Harapan (PH).

Namun, apabila sudah ada persempadanan semula yang diluluskan, terpulang kepada pihak BN untuk menentukan sokongan untuk kelulusan RUU355.

Persempadan semula sudah menjadi faktor yang kuat untuk membawa kemenangan BN. Namun, jika sentimen semasa tidak memihak seperti protes yang kuat oleh parti komponen seperti MCA, MIC, PBB, PRS misalnya maka, BN tidak akan menyokong apatah lagi membantu meluluskan rang undang-undang tersebut.

Mitos politik

Terdapat mitos politik kononnya Parlimen akan dibubarkan pada 23 Mac. Mitos ini kononnya, akan membawa aura kemenangan dan menjadi simbol BN akan mendapat dua pertiga kerusi kemenangan.

Namun lingkungan awal April dan awal Mei adalah tarikh paling logik melakukan pembubaran dan pengundian. Lazimnya, tempoh 30 hari urusan pembubaran Parlimen dan hari mengundi.

Dalam tempoh seminggu pembubaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan tarikh hari mengundi.

Jika 5 Mei dipilih sebagai tarikh mengundi bermakna tarikh tersebut sama dengan tarikh PRU13 pada tahun 2013.

Pada PRU13, BN memperoleh majoriti mudah sebanyak 133 kerusi.

Faktor Anwar

Apa pun tarikh PRU, ia tetap dijangkakan akan diadakan sebelum Ramadhan kerana belum ada dalam sejarah mengadakan pilihan raya pada bulan Ramadhan. Ini merupakan bulan ibadah bagi umat Islam yang merupakan etnik terbesar negara.

Apabila bulan Ramadhan dijangkakan bukan tarikh pilihan raya, maka bulan Syawal juga tergolong daripada bulan perayaan orang Islam. Bulan Syawal adalah bulan bermaaf-maafan dan pelbagai aktiviti berkaitan dengan hari raya dijalankan.

Sudah pasti, perdana menteri tidak akan memilih tempoh tersebut. Tarikh bermulanya Ramadhan dan Hari raya Aidilfiri ialah pada 17 Mei dan 15 Jun.

Pilihan raya juga dijangka diadakan sebelum Mei kerana ketika itu tokoh karismatik tinggi, iaitu Anwar Ibrahim belum dibebaskan dari penjara.

Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun. Sekiranya membiarkan tarikh terbubar secara automatik pada 24 Jun, maka persaingan menawan Putrajaya akan lebih sengit.

Pasti BN tidak akan mahu berdepan risiko ini.

Bayangkanlah jikalau Anwar berkempen di bandar manakala Dr Mahathir berkempen untuk menembusi kawasan Felda. Lebih baik membiarkan harimau politik berseorangan daripada bergabungnya dua harimau politik dalam berkempen.

Kepimpinan tertinggi sedar sekiranya asakan PH terlalu kuat dan prestasi kemenangan BN semakin merosot, iaitu kurang daripada angka perolehan 100 kerusi, maka takdir politik dan situasi dialami Pak Lah akan berulang lagi.

Dengan kata lain, pasti terdapat gesaan kuat agar berlakunya pertukaran pucuk pimpinan tertinggi. Inilah yang cuba dielakkan berlaku dalam BN.

Petunjuk utama

Apabila cuti pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibekukan mulai Mac, April dan Mei tahun ini sebagai mana diumumkan oleh PDRM, maka petunjuk utama PRU ternyata semakin terlalu hampir.

Bulan Mac lebih kepada keperluan pemantapan latihan simulasi pilihan raya umum termasuk latihan undang-undang bagi memastikan persediaan, kesempurnaan dan keselamatan yang terbaik dilaksanakan ketika PRU.

Terdapat 130,000 anggota PDRM akan bertugas sepanjang proses pelaksanaan tersebut. Berdasarkan konteks susunan waktu tersebut, dijangka bulan April ialah bulan pembubaran manakala Mei bulan mengundi dan memastikan keamanan terus kekal selepas PRU.

Begitu juga urusan penempahan helikopter untuk digunakan di Sabah dan Sarawak.

Menurut beberapa sumber turut menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan telah menempah helikopter untuk kegunaan untuk bulan April dan Mei. Pengangkutan helikopter sangat diperlukan ketika pilihan raya berlangsung untuk urusan penghantaran peti undi dan pegawai ke pusat mengundi di kawasan pedalaman. SPR pernah menyewa lebih 30 buah helikopter pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016.

Berdasarkan situasi-situasi berikut ternyata tempoh demam PRU dijangka akan berlangsung tidak lama lagi, iaitu antara hujung Mac, April hingga sebelum bulan Ramadhan pada Mei.

Awal atau lewat hanya akan ditentukan oleh sentimen semasa politik bukan sahaja bersifat dalaman BN sendiri akan tetapi berdasarkan juga pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan yang diharapkan dapat membantu kemenangan Barisan Nasional. – 4 Mac, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen