Salleh Keruak ada ilmu ‘ghaib’, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad semasa berucap pada program “Santai Bersama Negarawan Dr Mahathir Mohamad” di Taiping, Perak hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Mac, 2018. 

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak mempunyai “ilmu ghaib” dan disebabkan itu beliau lebih mengenali “Jho Low” daripada Jho Low sendiri, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, ini kerana Salleh berkata kapal mewah yang dirampas di Bali, Indonesia baru-baru ini belum tentu milik Low Taek Jho (Jho Low) sedangkan ahli perniagaan itu sendiri mengakuinya.

“Dia kata kapal itu bukan Jho Low punya. Tapi Jho Low kata dia punya.

“Jadi Salleh Keruak ni dia tahu lebih pasal Jho Low daripada Jho Low sendiri,” kata bekas perdana menteri itu semasa berucap pada program “Santai Bersama Negarawan Dr Mahathir Mohamad” di Taiping, Perak hari ini.

“Orang macam ni ada ilmu ghaib. Dia boleh tau lebih daripada orang yang menjadi pemilik kapal itu.”

Salleh berkata minggu ini, tiada bukti menunjukkan kapal layar The Equanimity yang disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali itu adalah milik Jho Low.

Salleh juga berkata tidak ada bukti menyatakan kapal layar itu dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Selepas kapalnya disita, Jho Low mendakwa tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) keterlaluan.

Jurucakap ahli perniagaan dalam pelarian dan juga orang kepercayaan Perdana Menteri Najib Razak berkata, walaupun masih terdapat prosedur pelucuthakan aset, DoJ meneruskan tuduhan palsu yang “sangat mendalam dan bermotif politik”. 

Dr Mahathir berkata, ketika beberapa negara di seluruh dunia mengambil tindakan terhadap skandal 1MDB, di Malaysia tiada siapa yang didakwa.

“DoJ Amerika telah mendapati bahawa kapal ini dibeli daripada duit yang dicuri. Duit siapa yang dicuri?

“Duit kitalah. Najib tubuh 1MDB, berniaga apa pun tiada, untung satu sen pun tiada, hutang RM42 bilion, separuh daripada duit itu terlepas kepada Jho Low.

“Tetapi bukan Jho Low sajalah, Najib pun dapat jugak, Rosmah Mansor pun dapat jugak. Boleh berlian warna merah jambu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dahulunya sebuah negara yang maju dan mampu menyediakan peluang pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Anak kita dapat biasiswa, balik jadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

“Itu dulu, tapi sekarang ni, duit sudah tiada. Duit curi begitu banyak tapi kerajaan kata duit tiada. Ini pelik,” katanya.– 3 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen