Pejuang bukan rasis, tak musuh dengan bukan Melayu, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2022.

PENGERUSI penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad menjelaskan meskipun GTA-Pejuang gerakan orang Melayu namun ia tidak rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu.

Justeru kata bekas perdana menteri itu, kaum bukan Melayu tidak perlu takut kerana Melayu GTA akan memberi tempat kepada kaum lain dalam pemerintahan.

“Ingatlah sejak merdeka Malaysia diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu. Tetapi di masa merdekalah orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr Mahathir walaupun usaha dibuat untuk mengurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang.

“Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara legislative (perundangan), executive (pentadbiran atau eksekutif) dan judiciary (kehakiman),” katanya.

Pada 27 Oktober, Dr Mahathir mengumumkan lapan calon parti Pejuang untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antaranya beliau sendiri akan mempertahankan kerusi Langkawi manakala dua penyandang kerusi Parlimen iaitu Mukhriz Mahathir dan Amiruddin Hamzah, masing-masing akan bertanding di Jerlun dan Kubang Pasu, Kedah. – Bernama, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • It is not what you say but what you do! Not only Tun M but all the GTA members have acted rudely to other races and now pretending to be clean leaders. Not to be trusted again!

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Loyal Malaysian · Ulasan