Dari Ampang, PKR isytihar perangi kerusi pengkhianat, tawan Putrajaya


Noor Azam Shairi

Presiden PKR Anwar Ibrahim pada majlis pengumuman calon PKR di Padang MPAJ Taman Kosas di Ampang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2022.

TIDAK sampai 50 hari selepas pertama kali mengisytiharkan kempen menggempur semua kerusi bekas ahli parlimennya yang dianggap khianat dan seterusnya menawan Putrajaya, PKR mengumumkan calon-calonnya yang akan bertanding di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis diadakan malam tadi di sebuah padang awam di Ampang, hanya 12 kilometer dari tempat parti itu menganjurkan sebuah rapat mega 11 September lalu, ketika ia mengisytiharkan kempen untuk menggempur kerusi pengkhianat.

Kerusi pengkhianat merujuk 11 kerusi Parlimen yang dimenangi PKR pada PRU14 tetapi semua wakil rakyat itu kemudian terlibat dalam percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Secara simboliknya, perisytiharan kempen – ibarat majlis letak kerja – dibuat di kawasan Parlimen Gombak manakala calon-calonnya yang akan jadi ‘tentera’ di barisan hadapan diumumkan di kawasan Parlimen Ampang.

Majlis pengumuman calon PKR malam tadi diadakan di Padang MPAJ Taman Kosas di Ampang, hanya 12km dari rapat mega PKR 11 September lalu, ketika ia mengisytiharkan kempen untuk menggempur kerusi pengkhianat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2022.

Anwar dalam ucapannya mengulangi seruan yang sudah dilaungkannya berkali-kali di setiap pentas ceramah sejak beberapa minggu lalu.

“Orang Ampang, orang Gombak, Bandar Tun Razak dan seluruh Wilayah (Persekutuan) dan Selangor, dan seluruh negeri-negeri Malaysia… pertama, ajar pengkhianat, humbankan mereka kali ini.

“Kedua, tunjukkan semangat dan daya juang rakyat yang akan mengatasi, dengan izin Allah, semangat dan daya juang kita boleh mengubah peta politik negara ini,” katanya.

Mengubah peta politik Malaysia

Untuk mengubah peta politik Malaysia, Anwar mengingatkan bakal calon yang hendak diumumkan nama mereka betapa PKR sebuah parti rakyat dan perjuangan, yang penuh derita. 

“Ini bukan Umno atau Bersatu. Ini parti rakyat, yang dari jalanan dan reformasi,” katanya.

“Ada tidak sebuah parti besar di negara ini yang menghimpunkan orang tatkala menamakan calon-calon (pilihan raya), suatu peristiwa yang penting, yang buat di padang yang becak.

“Nggak ada, pak,” tambahnya.

Presiden PKR Anwar Ibarhim meminta semua calon supaya selalu ingat kepada rakyat yang mendukung mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2022.

Hujan turun lewat petang, membawa ke awal malam, dan masih renyai ketika majlis bermula. Sebahagian hadirin berpayung; sesetengahnya mengenakan baju hujan. Padang di tepi kawasan perumahan berdekatan dua pusat daerah mengundi di Ampang – Taman Kosas dan Bukit Indah – becak dan berlecah.

Kepada semua bakal calon itu juga, Anwar meminta mereka supaya selalu ingat kepada rakyat yang mendukung mereka, termasuk yang meredah hujan dan sanggup berselut kasut dalam becak.

“Orang yang besok dipilih, jadi pemimpin dan wakil rakyat, bercakap di Parlimen, gegarkan Parlimen, bagi pihak rakyat yang ramai ini… bukan bagi pihak tauke-tauke balak, golongan kaya, pemodal besar. 

“Dia mesti menyuarakan hasrat aspirasi perjuangan rakyat, hati nurani majoriti rakyat Malaysia… Melayu, Cina, India, Orang Asal, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh, semua orang,” katanya.

Anwar juga mengingatkan wakil rakyat PKR tidak sepatutnya menunjukkan kekayaan yang luar biasa, tidak sombong dan bongkak.

“Dia tahu erti perjuangan, dan tentunya dia tidak jadi katak bangsat yang khianat,” katanya.

Selesai ucapan Anwar, majlis sampai ke kemuncak yang ditunggu-tunggu – pengumuman senarai calon.

Bekas presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Bandar Tun Razak pada PRU15 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2022.

11 kerusi bekas PKR

Secara kebetulan, calon pertama yang diumum ialah bagi kawasan Parlimen Segamat, yang disandang Edmund Santhara Kumar. Ini satu daripada 11 kerusi pengkhianat yang hendak PKR rampas semula. PKR menamakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat R Yuneswaran untuk Segamat.

Bekas presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Bandar Tun Razak. Kerusi itu sebelum ini dimenangi Kamarudin Jaffar pada PRU14.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari – yang dijuluki Anwar sebagai “panglima perang” – diletakkan bertanding di Gombak. Beliau akan berdepan dengan Mohamed Azmin Ali, yang meraih 63% undi di kawasan itu dan menang dengan majoriti 48,721 undi pada pilihan raya umum yang lalu.

Bagi kerusi Ampang, PKR menamakan exco Selangor, Rodziah Ismail sebagai calon untuk mencabar Zuraida Kamaruddin, yang menyandang kerusi itu tiga penggal sejak 2008. Pada PRU14, Zuraida meraih hampir 71% undi dengan majoriti 41,956 undi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari diletakkan bertanding di Gombak melawan Mohamed Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2022.

Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Onn Abu Bakar dicalonkan bertanding Batu Pahat. Kerusi itu dulunya dimenangi Rashid Hasnon, yang menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat penggal yang lepas.

Bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivanan, yang pada pilihan raya umum lalu hanya bertanding kerusi negeri di Perak, kali ini ditugaskan untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Langat. Kerusi itu disandang Dr Xavier Jayakumar, yang dilapor tidak akan bertanding pada PRU15.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek pula diberi tugas merampas semula Nibong Tebal, yang sebelum ini dimenangi untuk PKR oleh Mansor Othman.

Indera Mahkota, satu lagi kerusi PKR yang terlepas dalam episod Langkah Sheraton, akan ditandingi oleh timbalan ketua cabangnya yang juga penyelaras parlimen Zuraidi Ismail. Beliau dijangka berdepan penyandang Saifuddin Abdullah yang kini dengan Bersatu.

Empat lagi kerusi yang PKR anggap telah dikhianati ialah tiga di Sarawak – Saratok, Puncak Borneo, dan Selangau, sementara satu di Sabah iaitu Ranau.

Mereka yang akan bertanding untuk empat kerusi itu akan diketahui awal minggu depan apabila PKR mengumumkan senarai penuh calonnya di Sarawak pada Isnin dan Sabah pada Selasa.

Sehingga itu, seperti kata seorang pimpinan kanan PKR kepada seorang wartawan malam tadi: “Angin perubahan bermula dari Ampang.” – 29 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen