Takut apa, perdana menteri?


SEMALAM, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob menyatakan debat bukanlah budaya politik Malaysia.

Apakah kenyataan Ismail Sabri itu disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)?

Kenyataan beliau juga menghairankan memandangkan tugas utama seorang ahli Parlimen adalah untuk berbahas hal-hal perundangan, polisi dan pentadbiran negara, terutama sekali di sidang Parlimen.

Jika benar bahas bukan budaya politik Malaysia, maka tidak hairanlah kehadiran sidang Parlimen Ismail Sabri dan menteri-menterinya sangat mengecewakan.

Jika kita lihat juga sewaktu sidang Parlimen berlangsung, tidak hairan wakil-wakil rakyat BN lebih gemar berteriak dengan ganas, mengejek, memainkan isu perkauman dan agama, fitnah dan ponteng sidang parlimen daripada berhujah dengan bernas tentang masalah rakyat dan ekonomi negara.

Budaya debat sudah menjadi budaya politik di Malaysia setelah sekian lamanya. Dasawarsa ini juga, kita dapat lihat budaya ini dijulang di media-media massa.

Syarikat akhbar sering mengadakan forum debat yang dihadiri oleh ahli-ahli politik daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.

Di sekolah dan universiti juga, para pelajar digalakkan untuk menyertai pertandingan debat dan bahas, malahan sebuah piala debat juga didasarkan kepada perdana menteri, Piala Perdana Menteri yang dijalankan pada setiap tahun.

Tambahan pula, sepuluh tahun lepas, bekas presiden MCA, Chua Soi Lek pernah berbahas dengan bekas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan perbahasan mereka disiarkan secara langsung di televisyen bagi tontonan umum.

Beberapa bulan lepas juga, ketua pembangkang Anwar Ibrahim juga telah berdebat bersama bekas perdana menteri Najib Razak dan debat tersebut juga disiarkan secara langsung.

Pada kedua-dua waktu tersebut, Ismail Sabri juga memegang jawatan menteri dan kemudian perdana menteri.

Tidakkah perbuatan beliau menolak pelawaan Anwar untuk berdebat terlihat munafik?

Seorang pemimpin negara tidak akan takut untuk memperjuang dan mempertahankan prinsip-prinsip politik yang cekap, amanah dan telus.

Sekiranya Ismail Sabri tidak berupaya untuk berbahas dengan ketua pembangkang atas sebab yang beliau sendiri saja tahu, adalah lebih baik beliau hantar seorang wakil pimpinan tertinggi BN untuk berdebat dengan pihak pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Tiada alasan untuk Ismail Sabri dan BN lari dari isu ini memandangkan debat seperti ini bagus untuk membina demokrasi yang sihat dan matang. – 26 Oktober, 2022.

* Lim Lip Eng, setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen