Debat bukan budaya kita, kata Ismail Sabri


Calon perdana menteri Barisan Nasional Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan untuk beliau berdebat dengan calon-calon perdana menteri dari gabungan politik lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2022.

CALON perdana menteri Barisan Nasional Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan untuk beliau berdebat dengan calon-calon perdana menteri dari gabungan politik yang lain.

Katanya, debat bukan budaya di negara ini dan ia tidak mendatangkan sebarang hasil.

“Bukan budaya kita, dia tak datang apa-apa hasil. Kalau bagi debat, dia akan sebut janji dia bulan bintang akan sebut, jadi tak perlu,” katanya, seperti dipetik media di Kuala Lumpur.

Ismail juga berkata debat tidak perlu kerana ahli politik sekarang sibuk berkempen.

Ismail yang juga perdana menteri sementara sebelum itu menerima taklimat daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenai persiapan pihak polis menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan musim tengkujuh.

Ismail menjawab pertanyaan wartawan mengenai kenyataan pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang mencadangkan supaya calon perdana menteri daripada semua gabungan politik berdebat secara terbuka menjelang hari pengundian 19 November.

Dalam ucapannya di Temerloh baru-baru ini, Anwar mencadangkan supaya perbahasan itu bertumpu pada soal dasar dan perancangan kerajaan.

Selain Ismail Sabri calon perdana menteri bagi BN dan Anwar bagi PH, gabungan Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu dan PAS menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon mereka.– 25 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen