Pakatan jatuh sebab bertembung dengan rakyat, kata Azmin


Mohamed Azmin Ali menyifatkan mereka yang terlibat dengan Langkah Kajang dan Port Dickson sebagai 'pengkhianat sebenar'. – Gambar Facebook, 26 Oktober, 2022.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak dapat dipertahankan kerana ia memilih untuk bertembung dengan rakyat selepas dapat mandat mereka pada pilihan raya umum yang lalu, kata Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang juga bekas menteri dalam pentadbiran PH memberi contoh bagaimana lapan menteri dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad mendesak perdana menteri supaya menukar ketua setiausaha (KSU) kementerian mereka.

“Ini tidak pernah berlaku, sebab itu Dr Mahathir tidak bersetuju dengan desakan lapan menteri PH yang mendesak dan menuntut lapan KSU ditukar.

“Mengapa sebuah kerajaan yang baharu diberikan mandat oleh rakyat ingin bergaduh dengan anggota perkhidmatan awam, sedangkan mereka tidak terlibat dengan parti politik.

“Mereka berada di kementerian masing-masing untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan. Ini sebagai contoh,” katanya dalam wawancara di Astro Awani, malam tadi.

Azmin bagaimanapun tidak menamakan lapan menteri dan lapan kementerian berkenaan.

Azmin yang menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR juga berkata pentadbiran PH juga gagal memenuhi aspirasi rakyat apabila banyak peruntukan pembangunan “dipadamkan, dihapuskan” sehingga menyebabkan ada kaum yang rasa tertekan.

“Begitu juga keterangan, kenyataan yang keras dan bersifat keterlaluan menyebabkan rakyat merasakan mereka tidak lagi harmoni duduk bawah PH,” katanya.

Azmin adalah antara 11 ahli Parlimen PKR yang dituduh lompat parti sehingga menyebabkan kerajaan PH jatuh pada hujung Februari 2020, dalam episod yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Langkah Kajang, Port Dickson pengkhianatan sebenar

Dalam wawancara sama Azmin menafikan beliau pengkhianat.

Beliau sebaliknya menuding jari kepada mereka yang terlibat jadi dalang mencetuskan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kajang dan Port Dickson, masing-masing pada 2014 dan 2018.

“Mengapa kita tidak fokus soal Langkah Kajang, Langkah Port Dickson tetapi memilih Langkah Sheraton, sedangkan (kedua-dua) langkah itu adalah satu pengkhianatan mutlak di mana wakil rakyatnya masih hidup, masih berkhidmat, dipilih rakyat pada pilihan raya umum, tetapi kerana nafsu serakah seseorang, maka wakil rakyat ini dipaksa meletakkan jawatan.

“Apakah ini bukan pengkhianatan namanya,” tanyanya.

Langkah Kajang bertujuan mengangkat Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor namun tersekat selepas beliau disabitkan tuduhan liwat oleh mahkamah.

Langkah Port Dickson pula memaksa satu pilihan raya kecil parlimen untuk menghantar Anwar ke Dewan Rakyat setelah beliau menerima pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara, seminggu selepas PH menang PRU14.

Azmin menyifatkan mereka yang terlibat dengan Langkah Kajang dan Port Dickson sebagai “pengkhianat sebenar”. – 26 Oktober, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen