AMNESTY International pada Selasa menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat kemungkinan jenayah perang yang dilakukan pada Ogos oleh kedua-dua tentera Israel dan Palestin semasa pertempuran maut di Gaza.
31 orang awam merupakan antara 49 rakyat Palestin yang terbunuh di Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan oleh Israel semasa konflik tiga hari itu, kata kumpulan hak asasi global itu dalam laporan baharu.
Organisasi yang berpangkalan di London itu mendesak ICC untuk “menyiasat segera sebarang jenayah perang yang nyata dilakukan semasa serangan Israel Ogos 2022” di kawasan Palestin.
“Amnesty International telah mengumpul dan menganalisis bukti baharu serangan yang menyalahi undang-undang, termasuk kemungkinan jenayah perang, yang dilakukan oleh kedua-dua tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin,” katanya.
Laporan itu memperincikan serangan yang melanda kem pelarian Jabalia di utara Gaza, membunuh tujuh orang awam.
Pengeboman itu “kemungkinan berpunca daripada roket yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Palestin yang salah sasaran,“kata Amnesty.
Pertempuran bermula pada 5 Ogos apabila Israel menyasarkan kumpulan pejuang Palestin dalam apa yang dikatakan sebagai serangan awal untuk mengelak serangan.
Pertubuhan Palestin bertindak balas dengan tembakan roket yang tidak mengakibatkan sebarang korban jiwa di pihak Israel.
Penyelidikan Amnesty mendapati bahawa serangan yang menyebabkan lima kanak-kanak terbunuh di tanah perkuburan “kemungkinan berpunca daripada peluru berpandu Israel yang ditembak oleh dron”.
Amnesty berkata insiden ketiga yang merupakan jenayah perang adalah tembakan kereta kebal Israel ke atas sebuah rumah di kawasan selatan Khan Yunis, yang mengorbankan seorang orang awam. – AFP, 25 Oktober, 2022.
Komen