Sudan janji kerjasama siasatan jenayah perang Darfur, kata ICC


ketua pendakwa ICC Karim Khan pada sidang media di Khartoum, Sudan semalam. – Gambar AFP, 25 Ogos, 2022.

SUDAN berjanji akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan jenayah perang di wilayah pedalaman Darfur semasa pemerintahan bekas presiden Omar Al-Bashir, kata Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perkara itu dimaklumkan ketua pendakwa ICC Karim Khan selepas bertemu Ketua Tentera Abdel Fattah al-Burhan yang merampas kuasa tahun lalu, dan selepas melawat kem di Darfur.

Seramai 300,000 orang terbunuh dalam konflik yang bermula pada 2003, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Berita yang baru saya dengar daripada Majlis Kedaulatan sangat positif.

“Cabarannya sekarang ialah menterjemahkannya kepada bentuk tindakan,” kata Karim kepada pemberita. Beliau berada di Sudan sejak Sabtu.

Bashir, 78 tahun, yang berada dalam tahanan di Khartoum sejak digulingkan pada 2019, dikehendaki oleh ICC selama lebih sedekad atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Darfur.

Dua bekas pembantunya juga dikehendaki mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu untuk menghadapi tuduhan jenayah perang.

Karim berkata Abdel Fattah telah berjanji untuk memberi kerjasama penuh demi keadilan untuk rakyat di Darfur.

Beliau juga menekankan penyiasatan harus bebas dan boleh dipercayai. 

Perang saudara di Darfur bermula pada 2003, membabitkan pergaduhan antara pemberontak etnik minoriti yang mendakwa berlakunya diskriminasi oleh kerajaan dikuasai kaum Arab pimpinan Omar al-Bashir. – AFP, 25 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen