AMANAH mengumumkan penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan bertanding di kerusi Titiwangsa sebagai salah satu percaturan berisiko Pakatan Harapan (PH) untuk menang PRU15.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Asmuni Awi berkata percaturan tersebut berpandu kepada keputusan sama untuk mempertaruhkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim di Tambun.
“Banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh (PH) untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, langkah mempertaruh bekas menteri itu di Titiwangsa melibatkan pengorbanan luar biasa Khalid yang menguasai Shah Alam selama tiga penggal sejak 2008.
Beliau mengakui Khalid bakal berdepan pertandingan sengit di kerusi yang kini diminati pelbagai pihak.
“Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai wilayah (PH),” kata Asmuni.
Menurutnya Khalid diterima pelbagai pihak berdasarkan kejayaannya meraih majoriti 33,849 undi di Shah Alam.
Parti Muda pada minggu lalu mengintai peluang bertanding di kerusi majoriti Melayu itu dan turut memperkenalkan aktivisnya, Siti Rahayu Baharin, 41 sebagai calon kawasan tersebut.
Kawasan menempatkan kampung Melayu tradisi Kampong Bharu, Kampung Pandan, dan Datuk Keramat itu kini menjadi rebutan pelbagai parti politik.
Kerusi Titiwangsa dimenangi silih berganti oleh Umno, PAS dan Bersatu sejak kawasan Parlimen itu ditubuhkan pada 1986.
Ketua Umno Titiwangsa Johari Abdul Ghani dikatakan antara nama besar yang akan dicalonkan bertanding di kawasan itu.
Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang merupakan ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa disebut-sebut akan menggantikan penyandang Rina Harun dalam PRU15 nanti. – 23 Oktober, 2022.
Amanah umum Khalid Samad tanding Titiwangsa
Komen