1MDB gulung tikar: Apa respons Jasa?


BARU-baru ini, kita dikejutkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Mohd Irwan Serigar Abdullah yang syarikat pelaburan negara itu akan ditutup sebaik sahaja “hutang” syarikat itu berjaya diselesaikan. 

Apa sudah jadi? Kenapa perlu tutup? Jika ia berpotensi untuk pergi lebih jauh, kenapa perlu ia ditutup? Bukankah 1MDB adalah satu syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh pihak kerajaan Malaysia?

Kerana sebelum ini, rakyat didendangkan dengan perkhabaran yang baik bahawa syarikat pelaburan 1MDB ini tidak bermasalah dan mempunyai hala tuju yang memberangsangkan.

Malah, parti politik seperti PAS juga berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan oleh 1MDB ini selepas ia memberikan penjelasan yang berpatutan.

Jikalau PAS berpuas hati, manakan mungkin syarikat pelaburan 1MDB ini bermasalah, bukan? 

Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) juga dari semasa ke semasa mempertahankan kredibiliti syarikat 1MDB ini dengan menangkis segala “tohmahan” dan “fitnah”, kononnya apa yang dilemparkan dari pihak pembangkang dengan menerbitkan buku tentang 1MDB setebal 64 muka surat mengenai soalan-soalan yang perlu dijawab tentang perjalanan 1MDB. 

Apa sudah jadi? Kenapa ia perlu ditutup? 1MDB dihujahkan ia memerlukan kepada sebuah pelan rasionalisasi demi mengurangkan beban hutang dan untuk melangsungkan aktiviti-aktiviti syarikat untuk jangka masa yang panjang.

Ia juga turut dihujahkan “pelan rasionalisasi berjaya mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM3.6 bilion” (lihat halaman 40). 

Penulisan ini tidak berniat untuk membincangkan kronologi perjalanan 1MDB ini serta implikasi politiknya, tidak.

Tetapi, persoalan fundamentalnya adalah mudah. Rakyat jelata perlu diberikan penjelasan dan mereka berhak untuk mendapatkan maklumat yang sebenar. 

Adakah pelan rasionalisasi ini gagal?

Walaupun hutang dapat dijelaskan sama ada dalam masa yang ditetapkan atau tidak tetapi dari segi pentadbiran operasinya ia tidak mampu untuk diteruskan walaupun, pihak kerajaan berhujah Malaysia berada di landasan ekonomi memberangsangkan. 

Adakah “ekonomi memberangsangkan” itu adalah sekadar satu teori yang tidak boleh diuji? 

Secara logiknya, jika sesebuah perniagaan atau syarikat itu bebas daripada hutang, maka itu menjadikan perjalanan operasinya lebih “smooth” dan berjalan lebih lancar dan dijangka akan membawa untung atau pulangan lebih besar, tertakluk dan bergantung kepada prestasi semasa dengan mengambil kira keadaan persekitaran ekonomi semasa. 

Tetapi di dalam isu ini, permasalahannya adalah jelas. Jika 1MDB benar-benar akan ditutup seperti yang diberitahu di dalam media tempatan, maka ini akan memberikan satu tamparan yang nyata terhadap imej nasional.   

Segala jenis perkhabaran yang didendangkan terhadap 1MDB perlu diberikan perhatian yang kritikal sekali lagi. Selepas beberapa tahun ia beroperasi, tiba-tiba mengambil jalan yang mudah iaitu untuk “ditutup”? 

Jika permasalahan ini tidak dapat ditangkis secara rapi, bukankah ia akan mengakibatkan terhakisnya modal sosial rakyat jelata terhadap sesebuah institusi yang dipertanggungjawabkan, kononnya untuk menjana pelaburan dan pembangunan untuk segenap lapisan masyarakat? 

Justeru, jikalau permasalahan ini tidak dapat diberikan layanan secara kritikal oleh orang awam, tidak perlulah mendabik dada mengatakan Malaysia ini adalah negara demokrasi.

Atau mungkinkah ruang awam dan demokrasi di Malaysia ini perlu dilihat dari kerangka Jurgen Habermas? – 3 Mac, 2018.

* Dr. Ariff Aizuddin Azlan adalah seorang pemerhati politik tempatan. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apa yang malaysia dapat dari 1mdb ..hutang dan gst..tanah dijual buat bayar hutang..yang kaya pemimpinnyang susah rakyat..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan