Gimik aneh menteri siar aksi lahap mi kari


Salhan K. Ahmad

Faizal Azumu tampil dengan video remeh memaparkan aksinya makan mi kari tahun lepas sehari sebelum perdana menteri baharu dilantik. – Gambar Facebook, 23 Oktober, 2022.

DI saat genting politik Malaysia tahun lalu, muncul gimik pelik seorang penasihat khas bertaraf menteri mempertonton aksi melahap mi kari melalui siaran video di pelantar media sosial.

Perbuatan itu ganjil kerana perhatian pada masa itu tertumpu ke Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong sedang memilih perdana menteri kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Tayangan aksi melahap makanan ini bagaimanapun bukan perkara asing di kalangan orang muda yang banyak menerima maklumat dan perkembangan semasa melalui media sosial.

Di kalangan pengguna media sosial, ia dipanggil aksi mukbang. Pelaku dalam siaran video ini biasanya membaham hidangan dengan penuh serakah dalam kuantiti yang banyak.

Aksi makan seperti ini bukan seperti pengantin menjamah lauk di hadapan mertua. Pelaku mukbang ini menyambar juadah dengan rakus seperti haiwan, tanpa menoleh kiri-kanan.

Ia disertakan dengan perlakuan mengunyah, menghirup dan menelan yang ekstrem dan jauh daripada amalan sopan-santun masyarakat timur.

Bilangan penontonnya pula amat tinggi. Bintang mukbang antarabangsa seperti Banzz, Mbro, Shugi, DKD dan Yuka Kinoshita meraih jutaan penonton bagi setiap siaran.

Walau popular di mata penonton muda, ia tidak sunyi daripada kritikan. Aksi seperti ini dicemuh golongan tua yang berpengalaman hidup membanting tulang untuk mendapatkan sesuap nasi.

Bagi golongan tua dan konservatif, setiap butir nasi harus dimuliakan. Hasil keringat ini dimakan untuk keperluan hidup, bukan untuk dilahap sehingga sengkak.

Makanan dijamu sebagai tanda keraian sewaktu kenduri-kendara dan juga untuk berkongsi tuaian sewaktu mereka berehat seketika sebelum musim tanaman akan datang.

Ia berlaku dalam suasana gotong-royong, dilaksana demi kepentingan masyarakat dan bukan untuk mengisi tembolok peribadi.

Berbalik pada aksi mukbang penasihat bertaraf menteri itu, perbuatannya menimbulkan kehairanan kerana dilihat tiada kena-mengena langsung dengan perkembangan semasa waktu itu.

Orang pada waktu itu masih tercengang kerana Muhyiddin baru saja meletak jawatan selepas menjadi perdana menteri selama lima bulan kerana hilang sokongan di Parlimen.

Muhyiddin yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad menyambung firasat popular R-A-H-M-A-N mengenai jujukan huruf pertama dalam setiap nama perdana menteri Malaysia.

Sehingga masa itu, firasat RAHMAN menjadi RAHMAN MM. Teori itu tidak begitu pop lagi dan tidak juga berima.

Dalam keadaan penuh ketidaktentuan dan kegelisahan akibat kawalan pergerakan itulah Faizal Azumu tampil dengan video remeh memaparkan aksinya makan mi kari.

Dalam siaran tersebut, bekas menteri besar Perak itu memberi markah 8.5 dari 10 bintang untuk hidangan yang digelarnya “mi kari dari Putrajaya”.

Nama pembuat mi kari tersebut atau kedai yang menjualnya tidak disebut Faizal Azumu.

Seterusnya, beliau menjangka dapat memberi markah 9 bintang sekiranya dapat menikmati hidangan mi kari segar di kedai berkenaan, apabila perintah kawalan pergerakan tamat.

Pada waktu itu, kita tidak tahu apa pentingnya tayangan video makan mi kari tersebut atau apa yang dimaksudkan Faizal Azumu sebagai kedai mi kari berkenaan.

Sehari selepas itu, Ismail Sabri Yaakob dengan huruf “I” di pangkal namanya tampil mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan.

Kemudian, kita dapat tahu Faizal Azumu dilantik menjadi menteri belia dan sukan dalam Kabinet Ismail Sabri dan gimiknya berlarutan.

Ramai belum lupa acara perasmian pasukan sukarelawan Faizal Azumu untuk menangani banjir besar pada Disember lalu sewaktu ribuan mangsa bencana tersebut bersabung nyawa.

Sikap tuli pada sensitiviti rakyat dalam menguruskan bencana ini mungkin berjangkit daripada Ismail Sabri yang menerima kritikan sama sewaktu melawat kawasan banjir pada Ogos tahun lalu.

Lawatan Ismail Sabri itu berikutan bencana kepala air di Yan dan Kuala Muda yang menjejaskan lebih 1,000 kediaman dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.

Ismail Sabri yang baru dilantik ke jawatan perdana menteri didakwa hadir dengan rombongan 50 kenderaan dan disambut dengan papan papan iklan khas yang mengalu-alukan lawatan itu.

Kita tidak perlu sebut lagi mengenai prestasi buruk kerajaan pimpinan Ismail menangani banjir besar hujung tahun lalu. Semua orang masih ingat dan kesannya masih berbekas

Dan sekiranya bah besar berlaku lagi pada 19 November, rakyat bakal keluar dengan penuh kesukaran untuk menyambung urutan huruf RAHMAN MMI.

Faizal Azumu pula nampaknya sedia menerima pencabar baharu di kawasan disandangnya di Tambun – Anwar Ibrahim yang sudah lama bercita-cita jadi perdana menteri. – 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen