SYARIKAT fesyen Balenciaga yang berpangkalan di Paris telah menamatkan hubungan dengan Kanye West berikutan kenyataan kontroversi berkaitan anti-Semitik, menurut laman berita fesyen WWD.
“Balenciaga tidak lagi mempunyai sebarang hubungan mahupun rancangan untuk projek masa depan yang berkaitan dengan artis ini,” kata syarikat induk Balenciaga, Kering kepada WWD.
Ia berikutan tingkah laku tidak menentu dari Kanye yang kini dikenali sebagai Ye.
Awal bulan ini Ye membuat penampilan mengejut untuk jenamanya Yeezy di Minggu Fesyen Paris menggunakan slogan kontroversi “White Lives Matter”, secara meluas dianggap sebagai tindak balas perkauman terhadap pergerakan Black Lives Matter.
Artis berusia 45 tahun itu kemudian menyelar bekas rakan sekerja dan seorang wartawan fesyen terkemuka yang mengkritik tindakan itu, termasuk bos Kering, Bernard Arnault, melalui media sosial.
Kanye telah pun memutuskan perkongsiannya dengan Gap bulan lepas, dengan kedua-dua pihak berkata mereka tidak lagi sehaluan.
Adidas mengumumkan awal bulan ini ia sedang menyemak semula hubungan dengan Kanye.

Balenciaga dan Kering tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen daripada AFP.
Kanye muncul sebagai model dalam projek Balenciaga terbaharu di Paris bulan lepas, memakai pakaian gaya tentera di dalam lubang lumpur. Imej beliau dari rancangan itu tidak lagi kelihatan di laman web Balenciaga pada Khamis.
Rapper itu mempunyai hubungan yang lama dengan pengarah kreatif Balenciaga, Demna, dan mereka melancarkan barisan pakaian awal tahun ini.
Penyanyi rap yang itu bersifat terbuka tentang gangguan bipolarnya. Sebuah dokumentari Netflix baru-baru ini, “Jeen-Yuhs”, mendedahkan masalah kesihatan mentalnya yang berterusan.
Komen Kanye baru-baru ini, termasuk kata-kata kasar tentang “kematian terhadap orang Yahudi”, menyebabkan akaunnya di Twitter dan Instagram disekat.
Awal minggu ini, beliau mengumumkan persetujuan untuk membeli platform media sosial Parler.
“Dalam dunia di mana pendapat konservatif dianggap sebagai kontroversi, kita perlu pastiksan kita mempunyai hak untuk menyatakan diri secara bebas,” katanya. – AFP, 22 Oktober, 2022.
Komen