Kanye West setuju beli rangkaian sosial Parler


Kanye West dilaporkan bersetuju untuk membeli rangkaian sosial konservatif Parler pada Isnin, seminggu selepas akaun Twitter dan Instagramnya dihadkan kerana memuat naik hantaran berunsur anti-Semitik. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2022.

RANGKAIAN sosial Parler pada Isnin mengumumkan perjanjian untuk Kanye West membeli platform yang popular dalam kalangan konservatif Amerika Syarikat (AS), lebih seminggu selepas akaun Twitter dan Instagram penyanyi rap itu dihadkan kerana memuat naik hantaran anti-Semitik.

West baru-baru ini telah mengasingkan peminat dan rakan kongsi perniagaan dengan komen anti-Semitik, mula berminat dengan teori konspirasi perkauman dan memakai baju-T “White Lives Matter” yang provokatif di minggu fesyen Paris.

“Dalam dunia di mana pendapat konservatif dianggap sebagai kontroversi, kami perlu memastikan kami ada hak untuk menyatakan diri secara bebas,” kata artis jutawan dan mogul fesyen itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Parler.

Parler berkata West, yang mempunyai akaun di rangkaian tersebut pada Isnin, “mengambil sikap berani menentang penapisan baru-baru ini daripada Big Tech.”

Keputusan West untuk membeli platform media sosialnya sendiri muncul selepas beliau menghadapi masalah di Twitter dan Instagram milik Meta kerana memuat naik hantaran yang mengandungi kenyataan anti-Semitik, yang melanggar peraturan kandungan platform itu.

Sekatan terhadap penyanyi rap berusia 45 tahun itu di Twitter dan Instagram pada awal Oktober bukanlah kali pertama.

Awal tahun ini, West disekat di Instagram selama 24 jam selepas melanggar dasar gangguan rangkaian sosial itu di tengah-tengah perceraiannya dengan bintang realiti Kim Kardashian.

Bekas presiden AS Donald Trump, yang turut disekat secara kekal daripada Twitter, telah pun bercakap dengan West mengenai pembelian Parlernya dan kedua-duanya merancang untuk makan malam, menurut laman berita Politico.

Parler, yang menggambarkan dirinya sebagai “kuasa dalam memerangi Big Tech, Kerajaan Besar, penapisan dan budaya batal,” mengumumkan pada September ia sedang menyusun semula untuk memberi tumpuan kepada pengguna yang berisiko disingkirkan daripada internet. – AFP, 18 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen