PDRM pertahan ketua CID disyaki terlibat pengubahan wang haram


Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata sumber dana dikatakan diperolehi hasil penjualan rumah di Shah Alam dengan harga RM700,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mempertahankan ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram oleh pihak berkuasa Austalia.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menjelaskan, wang milik ketua CID Wan Ahmad Najmuddin Mohd sebanyak AU$320,000 yang dirampas oleh pihak berkuasa Australia adalah hasil daripada penjualan rumah.

Mohamad Fuzi berkata, Wan Ahmad menjual rumah di Shah Alam dengan harga RM700,000 (AU$260,770).

“Wang itu diamanahkan kepada rakan rapat untuk dibuat pemindahan wang tunai ke akaun di Australia.

“Beliau (Wan Ahmad) setakat ini dapat menyediakan semua dokumen yang diperlukan untuk membuktikan sumber dana,” kata Fuzi dalam satu kenyataan.

Ketua polis negara itu juga mengatakan Wan Ahmad memberikan alasan keperluan mempunyai akaun di luar negara bagi tujuan semata-mata membiayai pengajian anak-anaknya.

Akhbar Sydney Morning Herald hari ini melaporkan polis Australia merampas sejumlah AUD$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

Wan Ahmad, bagaimanapun tidak akan mencabar rampasan untuk mendapatkan wang itu kembali.

Susulan laporan tersebut, beberapa pihak menggesa polis membuka semula siasatan terhadap tuduhan penggubahan wang haram oleh seorang pegawai tertinggi dalam pasukan itu.

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata rampasan AU$320,000 mewajarkan penyiasatan di Malaysia untuk dibuka semula dan jika menjadi suspek, beliau perlu bercuti dalam tempoh ini.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pelik dan terkejut kerana polis Australia melihat kemungkinan berlakunya jenayah tetapi polis Malaysia membersihkannya.

Bagaimanapun, Fuzi berkata pihak polis telah dimaklumkan mengenai akaun bank Wan Ahmad pada 2016 dan satu siasatan dalaman mengenai perkara terbabit telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Siasatan mendapati akaun bank itu dibuka bagi membiayai pengajian anak-anaknya di Australia.” – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ni mcm kes asp gobi jerrr

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan