Ahli MBI kecewa siasatan dilakukan


Looi Sue-Chern

Sekiranya operasi MBI hancur ia akan menyusahkan ramai pelabur, perniagaan dan kehilangan kerja, kata salah seorang pelabur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2017.

ANDA tahu anda ada duit, tetapi anda tak boleh sentuh. Ini yang dikatakan salah seorang ahli MBI International.

MBI, pengendali platform perkongsian elektronik gergasi kini sedang disiasat pelbagai agensi penguatkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, menggalakkan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Tengahari tadi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan yang 91 akaun dengan jumlah simpanan mencecah RM177 juta dibekukan sementara menunggu siasatan dilakukan.

“Ini sangat mengecewakan,” kata Simon, seorang pelabur yang mempunyai AS$8,000 (RM34,240) dalam lapan akaun dengan MBI.

“Anda tahu anda ada duit di situ, tetapi sekarang anda tak boleh buat apa-apa. Saya tertanya-tanya ke mana duit MBI yang ‘dibekukan’ akan pergi,” katanya kepada The Malaysian Insight susulan tersebarnya berita yang pihak berkuasa persekutuan sedang menyiasat perniagaan itu.

Simon menyertai skim itu beberapa tahun lepas dan sudah beberapa kali mengaut keuntungan. Duit yang belum dikeluarkan daripada skim MBI itu dijana daripada keuntungannya sebelum ini.

Walaupun dia mungkin tidak akan kehilangan wangnya, dia berkata yang ia mengecewakan untuk mengetahui yang “keuntungan masa depannya” sudah tidak akan diperolehi lagi.

“Saya dan beberapa orang kawan, yang juga merupakan ahli, sudah membuat untung. Tetapi kami berharap kami akan dapat buat untung lebih. Sekarang, kami terkejut dengan berita buruk ini.

“Salah seorang kawan saya masih mempunyai AS$30,000 dalam tiga akaun MBI,” katanya.

Seorang lagi pelabur bernama Jonathan, seorang jurutera berusia lingkungan 30-an berkata, terdapat juga ahli MBI yang marah kepada media.

Dia juga merasakan geram dengan apa yang berlaku, menambah yang ramai ahli merasakan MBI dalam masalah kerana akhbar tempatan Cina “menyebarkan” cerita buruk tentang syarikat itu sejak beberapa minggu lepas.

“Hampir setiap hari, ada cerita tentang MBI dalam akbar Cina..tentang ia haram dan semua benda. Berterusan mereka laporkan.

“Mengapa mereka memburu MBI? Tiada berita tentang ada laporan polis dibuat ke atas MBI. Bukannya MBI menghilangkan duit pelabur sepertimana JJPTR.

“Adakah kerana pilihan raya semakin dekat? Saya tak tahu, tetapi banyak cerita yang saya dengar tentangnya kebelakangan ini,” katanya.

Jonathan melabur dalam skim itu sejak beberapa tahun lepas seperti Simon, dan membuat duit hampir AS$30,000.

Katanya lagi sukar untuk bayangkan sekiranya seluruh operasi MBI jatuh.

“Ini adalah syarikat yang besar dengan banyak anak syarikat dan aset di merata tempat. Sekiranya MBI jatuh, dan M Mall tutup, banyak perniagaan akan menerima kesan dan ramai akan hilang kerja.

“Sekiranya ia berlaku, akhbar Cina memang buat ‘benda baik’,” katanya menyindir.

Pengasas Kumpulan MBI Tedy Teoh berkata yang syarikat itu sedang “menyelesaikan banyak perkara”, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, apabila pihak berkuasa menyiasat syarikat anda, apa yang boleh anda buat hanyalah beri kerjasama,” katanya.

Di M Mall tengahari ini, perniagaan berjalan seperti biasa. Peniaga masih mengambil mata MBI O2O sebagai kaedah bayaran daripada ahli MBI.

Pengurus kompleks membeli belah itu Teoh Jin Aik berkata tiada gangguan kepada perniagaan mereka.

“Setakat ini, tiada apa-apa. Tiada aduan daripada ahli. Semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Wartawan tidak dapat memasuki pejabat pengurusan kompleks beli belah itu untuk bertanyakan soalan.

Seorang pekerja, yang berada di situ, menjawab yang dia tidak menerima sebarang arahan daripada pihak atasan dan tidak boleh memberikan sebarang perkembangan.

“Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak ada apa saya boleh beritahu,” katanya. – 31 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen