POLIS di El Salvador telah menahan lebih 55,000 ahli kumpulan kongsi gelap sejak presiden Nayib Bukele mengisytiharkan “perang” ke atas kumpulan penjenayah tujuh bulan lepas, kata pihak berkuasa pada Jumaat.
“Terdapat lebih 55,000 penangkapan” anggota kumpulan sejak Mac, apabila kerajaan diberikan kuasa darurat untuk menangkap suspek tanpa waran, kata menteri kehakiman negara itu Gustavo Villatoro.
Jumlah tangkapan sudah pun melebihi 16,000 sebelum kuasa darurat diisytiharkan.
Gelombang penahanan tidak pernah berlaku sebelum ini di negara berpenduduk 6.5 juta orang, yang sejak berdekad telah berhadapan jenayah kekerasan yang didorong oleh kumpulan kuat seperti Mara Salvatrucha (MS-13) dan Barrio 18.
“Kami menang perang (menentang jenayah terancang) dan kami akan terus mengerahkan beribu-ribu polis dan tentera setiap hari untuk menangkap pengganas ini,” kata Villatoro sambil memohon pelanjutan ketujuh kuasa darurat.
Pasukan polis dan tentera telah merampas 1,644 senjata api, 2,026 kenderaan, 12,842 telefon bimbit dan AS$1.2 juta, tambah Villatoro.
Bagi menghadapi kemasukan banduan, pihak berkuasa kehakiman El Salvador sedang membina penjara besar untuk 40,000 orang yang disyaki penjenayah di Tecoluca, sebuah kawasan luar bandar di tengah negara.
Pusat tahanan itu dijangka siap pada penghujung tahun ini. – AFP, 15 Oktober, 2022.
Komen