BERIBU-RIBU rakyat El Salvador pada Ahad turun ke jalan raya di ibu negara bagi menunjukkan rasa benci terhadap rasuah dan kecenderungan negara menjadi autoritarianisme.
Protes tersebut diadakan beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terhadap pembantu rapat Presiden Nayib Bukele.
Bukele dikritik hebat kerana menggunakan bitcoin sebagai matawang sah untuk tender di negara tersebut, mencadangkan mata wang kripto itu membantu menggiatkan semula ekonominya, dan untuk pembaharuan undang-undang yang dikatakan pengkritik sebagai serangan terhadap kebebasan badan kehakiman negara.
“Sebagai sebuah negara, kita sudah letih dengan cara penjawat awam menyalahgunakan sumber negara, yang menjadi milik rakyat,” kata peguam Eduardo Alvarenga, 37, kepada AFP semasa demonstrasi, sambil membawa papan tanda menyeru supaya rasuah dihentikan.
Bekas hakim dan hakim semasa turut mengambil bahagian dalam protes itu, menggesa penghormatan terhadap pengasingan kuasa selepas Kongres memecat semua hakim dewan perlembagaan Mahkamah Agung dan hakim berusia lebih 60 tahun.
Mahkamah baharu yang sejajar dengan Bukele kemudian memberi lampu hijau kepadanya untuk bertanding untuk pemilihan semula pada 2024 - walaupun Perlembagaan menetapkan had cuma untuk sepenggal.
“Kami berarak hari ini sebagai hakim untuk mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” kata bekas hakim Jorge Guzman, yang meletak jawatan sebagai solidariti dengan rakan-rakannya yang dipecat.
Pada Khamis, Washington mengenakan sekatan ekonomi ke atas ketua kakitangan Bukele Carolina Recinos atas dakwaan rasuah, mendakwa pemimpin Salvador itu sebagai “tidak masuk akal.”
Selepas perhimpunan itu, yang berlangsung tanpa insiden, Bukele menyelar kerajaan AS.
“Pembayar cukai AS harus tahu kerajaan mereka guna wang mereka untuk membiayai gerakan komunis menentang kerajaan yang dipilih secara demokratik di El Salvador,” katanya melalui satu ciapan di Twitter. – AFP, 13 Disember, 2021.
Komen