BN bakal menang PRU kecuali peratus keluar mengundi naik, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Hanya peratusan keluar mengundi yang tinggi boleh memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2022.

PILIHAN raya umum (PRU) akan mengulangi pilihan raya negeri (PRN) Johor, dengan kemenangan meyakinkan Barisan Nasional (BN), melainkan peratusan keluar mengundi berubah, kata pemerhati politik.

Hanya peratusan keluar mengundi yang tinggi boleh memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Putrajaya, kata mereka.

Mereka percaya peratusan keluar mengundi melebihi 60% akan memberi manfaat kepada PH, manakala jika ia lebih rendah hanya akan memberikan BN kelebihan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata keputusan PRU15 berkemungkinan besar menjadi cerminan bagi pada PRN Johor.

Beliau bagaimanapun berkata hanya peratusan keluar mengundi yang tinggi dapat mengelak perkara ini daripada berlaku.

“Bagi menyekat kemaraan BN yang sudah merasakan keputusan PRU15 akan menjadi seperti keputusan bagi PRN Johor, pembangkang perlu mengharapkan kehadiran yang tinggi dan kemarahan rakyat terhadap keangkuhan BN ditunjukkan dalam peti undi,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 14.9 juta pemilih berdaftar pada PRU14 dan 12.3 juta atau 82.3% daripada mereka keluar mengundi.

Dengan kira-kira 6.9 juta pengundi baharu - mereka yang berumur 18 hingga 21 tahun dan pengundi kali pertama - termasuk dalam daftar pemilih, Hisommudin berkata untuk menyamai jumlah keluar mengundi PRU14, kira-kira 58% orang perlu keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata angka itu perlu lebih tinggi lagi bagi PH untuk menafikan sebarang peluang BN menang.

“Pada pendapat saya, pembangkang memerlukan 75% daripada jumlah pengundi keluar bagi menterbalikkan secara berkesan corak sokongan yang dilihat memihak kepada BN sekarang,” katanya.

Terdahulu, timbalan ketua PH Johor dan pakar strategi DAP Liew Chin Tong juga berkata gabungan itu mengharapkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi pada PRU15 untuk mengulangi kejayaan mengalahkan BN.

Mengikut anggaran, pengundi PRU15 adalah lebih 21 juta, dengan 18 hingga 40 tahun membentuk 58% pengundi.

Belia berumur 18 hingga 20 tahun merupakan kira-kira 16% daripada 6.9 juta pengundi baharu.

Sementara itu, Profesor Madya Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata PH mesti mempunyai lebih 60% daripada jumlah pengundi yang hadir untuk setanding dengan BN.

Beliau berkata jumlah lebih rendah daripada itu akan menyaksikan BN mengulangi apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor.

Menurut penganalisis sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pembangkang perlu menggerakkan pengundi muda untuk berpeluang menang dalam pilihan raya akan datang ini.

Beliau berkata mereka perlu memainkan isu yang membabitkan kumpulan ini dan memastikan mereka keluar mengundi.

“Pembangkang perlu menggerakkan pengundi dari peringkat umur 18 hingga 40 tahun untuk keluar mengundi. Ia perlu disertakan dengan membangkitkan isu yang membelenggu golongan ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Tasmania Asia Prof James Chin percaya dengan penambahan baharu pengundi, peratusan keluar mengundi akan lebih tinggi.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi Malaysia untuk pilihan raya agak konsisten sepanjang tahun.

Bagaimanapun, beliau mendakwa jika angka itu menurun, ia mungkin bermakna orang ramai kecewa atau terdapat perkara lain seperti bencana.

“Ia terlalu sukar untuk diramal kerana jika berlaku hujan lebat atau banjir pada hari mengundi, ia mungkin memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi dan ia boleh menjadi rendah.

“Jadi, ia bergantung kepada cuaca dan faktor lain yang tidak dijangka, dan juga sejauh mana parti politik mengatur strategi apabila isu sebegini timbul untuk berkemungkinan membawa pengundi pergi dan balik,” katanya.

“Peratusan keluar mengundi yang rendah sebelum ini (dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor) adalah sebahagiannya kerana ketakutan orang ramai terhadap Covid-19,” kata Chin.

“Adalah jelas orang ramai tidak lagi bimbang dengan Covid-19 dan oleh itu pemacu utama dari segi peratusan keluar mengundi ialah betapa panasnya pilihan raya, jenis calon dan parti apa yang boleh ditawarkan.

“Jika peratusan keluar mengundi di bawah 65%, maka ada sesuatu yang tidak kena.

“Dalam keadaan biasa, dalam cuaca baik, jika peratusan keluar mengundi rendah, bermakna orang ramai tidak mahu keluar,” katanya lagi. – 14 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen