Dr Mahathir, pembangkang guna taktik berita palsu raih undi PRU14


Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata Pakatan Harapan diketuai Dr Mahathir Mohamad menggunakan berita palsu sebagai senjata politik mereka untuk meraih undi pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan didominasi DAP menggunakan berita palsu sebagai senjata politik mereka untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.

“Rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan ingat bagaimana Dr Mahathir memulakan serangan berita palsu terhadap 1MDB, apabila menyatakan dengan salah ‘RM42 bilion hilang’, hanya untuk dibuktikan berulang kali kenyataan itu adalah salah,” katanya menerusi catatan dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini.

Dalam keadaan mereka yang terdesak, Salleh berkata adalah menyedihkan untuk melihat bekas perdana menteri dan pembangkang kini tanpa berfikir panjang mengitar semula dakwaan tanpa bukti dan menyebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pembangkang sekali lagi mengambil kesempatan berikutan dakwaan tanpa disahkan dan tanpa dibuktikan berhubung sebuah kapal mewah dinamakan “The Equanimity”.

Antara lain, menteri itu berkata kapal itu dikatakan dimiliki Jho Low, dan pembeliannya dibuat menggunakan dana daripada 1MDB, iaitu satu lagi percubaan yang gagal untuk mengelirukan rakyat Malaysia dengan berita palsu.

“Hakikatnya sumber tuduhan tu terkandung dalam tuntutan sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, yang sebenarnya ditangguhkan sejak Ogos 2017.

“Sehingga hari ini, selain dakwaan asas yang terkandung dalam tuntutan sivil itu,  DoJ belum mengemukakan sebarang bukti kukuh bahawa Jho Low ialah pemilik sebenar kapal mewah itu ataupun ia dibeli menggunakan dana daripada 1MDB,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata DoJ masih belum membuktikan mana-mana tuduhannya di mahkamah, walaupun hampir dua tahun berlalu sejak persidangan akhbarnya yang sensasi diadakan pada Julai 2016.

“Pembangkang gagal menyatakan dakwaan sumber dana dalam tuntutan sivil DoJ adalah daripada Aabar BVI, yang menurut DoJ, dikatakan mempunyai urusan perniagaan dengan Jho Low.

“Para pengarah Aabar BVI ialah Khadem Al Qubaisy dan Mohammed Al Badawy, bekas petugas kanan dalam kumpulan IPIC.

“1MDB berulang kali menjelaskan walaupun ia mempunyai urusan perniagaan dengan Aabar BVI, 1MDB tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Jho Low dan yang lebih penting, 1MDB bukanlah pihak dalam tuntutan sivil DoJ,” kata Salleh. – Bernama, 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • itu benda biasa dari pembangkang. itu yang kerajaan kita tubuhkan jawatankuasa berita palsu tu. mcm2 cara pembangkang akan buat untuk raih undi dan untuk jatuhkan kerajaan semasa.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan