Agong kecewa, tiada pilihan selain bubar Parlimen, kata Istana Negara


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memohon perkenaan baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Musta'in Billah Shah dalam sesi menghadap yang tidak dijadualkan. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2022.

YANG di-Pertuan Agong tiada pilihan selain memperkenan permintaan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen berkuatkuasa hari ini, menurut Istana Negara.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin menyebut demikian bagi menjelaskan rentetan peristiwa yang berlangsung semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memohon perkenaan baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musta’in Billah Shah dalam sesi menghadap yang tidak dijadual.

Dalam sesi bermula jam 12 tengah hari itu, Ismail Sabri memohon perkenaan baginda agar memperkenan pembubaran tersebut berkuatkuasa hari ini.

Baginda memperkenan permintaan itu selaras kuasa baginda bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan perdana menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.”

Ahmad Fadil juga berkata, baginda seterusnya berharap pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan musim tengkujuh diramal bermula pertengahan November, katanya lagi. 

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam pengumumannya petang ini berkata, langkah itu bagi menamatkan kritikan ke atas keabsahan pentadbiran kerajaan.

Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas PRU14 digulingkan pada Februari 2020 dan digantikan dengan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pentadbiran Muhyiddin seterusnya terguling pada Ogos 2021 yang kemudian diambil alih Ismail Sabri sebagai perdana menteri kesembilan.

Dengan pembubaran Parlimen pada hari ini, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

PH pada 5 Oktober memutuskan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Sehari sebelumnya, PAS juga memutuskan langkah sama bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai parti itu. – 10 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen