Mindef fokus 4 teras utama Belanjawan 2023, kata Hishammuddin


Menteri Pertahanan berkata empat teras itu adalah pembelian aset baharu, penyelenggaraan aset sedia ada, pembelaan terhadap veteran ATM dan penambahbaikan aspek kebajikan warga pertahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2022.

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan memperincikan peruntukan Belanjawan 2023 yang diterimanya dalam masa tidak lebih dua bulan dengan tumpuan diberikan kepada empat teras utama.

Menterinya Hishammuddin Hussein berkata secara keseluruhannya, kementerian itu diperuntukkan RM17.37 bilion untuk 2023, peningkatan RM1.23 bilion atau 7.8% berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, perbelanjaan pengurusan meningkat 2.7% kepada RM11.41 bilion dan perbelanjaan pembangunan meningkat 18.3% kepada RM5.96 bilion.

“Jumlah ini sudah tentunya saya terpaksa memperincikan bagaimana ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana saya juga terikat dengan perancangan yang ada di Mindef selepas berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kait dengan dasar kita.

“Saya sudah membuat keputusan, apa jua yang kita nak umumkan selepas ini, kepimpinan di peringkat Mindef dan ATM mesti memberikan keutamaan kepada empat perkara yang sentiasa saya tekankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Tentera Darat 2022 di Kluang, Johor hari ini.

Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata, empat teras itu adalah pembelian aset baharu, penyelenggaraan aset sedia ada, pembelaan terhadap veteran ATM dan penambahbaikan aspek kebajikan warga pertahanan.

Bagaimanapun, beliau berkata Mindef sentiasa berfikir di luar kotak dan tidak melihat kepada peruntukan belanjawan sebagai satu kaedah sahaja untuk memperkukuh kekuatan kementerian itu dan ATM.

“Sebab itu jangan kita melihat kepada bajet sebagai segala-galanya, banyak cara lain untuk kita sedang memikirkan di luar kotak untuk membantu dalam keadaan, bukan mudah, ekonomi dunia memang tertekan tetapi dari segi keselamatan dan pertahanan, itu kita tidak boleh kompromi dan lebih penting bagi saya yang dekat dengan hati saya ialah agenda kebajikan,” katanya.

Mengenai penambahbaikan aspek kebajikan warga pertahanan, antara lain Mindef juga terus menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam usaha membolehkan lebih ramai warga kementerian itu termasuk veteran ATM membeli rumah mampu milik.

Selain itu, beliau berkata Mindef juga akan terus mengeratkan usahasama dengan Kementerian Kesihatan terutama dalam usaha menambahbaik infrastruktur dan kemudahan di Hospital Angkatan Tentera, poliklinik ATM serta pusat perubatan dan pergigian ATM.

Ketika ditanya mengenai keluhan segelintir veteran ATM mengenai ketiadaan peruntukan khas buat mereka menerusi Belanjawan 2023, Hishammuddin meminta golongan itu tidak melihat kepada ucapan pembentangan semata-mata.

“Kalau pihak kementerian pun belum memperincikan lagi butiran apa yang diumumkan, saya percaya veteran pun belum perincikan lagi.

“Sebelum bajet pun, beberapa perkara yang mereka (veteran) minta, kita dah luluskan. Daripada menuduh melulu, baik datang bincang dengan kita apa yang boleh kita bantu mereka,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dipetik sebagai berkata Belanjawan 2023 seakan tidak memihak golongan pesara tentera.

Antara tuntutan yang dibuat sebelum ini adalah kajian semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera perang dan semasa bertugas. – Bernama, 9 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen