.jpg)
Dalam catatan lepas, saya cuma merakamkan babak-babak awal naratif penyatuan Melayu dalam konteks politik negara secara umum; bagaimana bangsa Melayu yang terpencar-pencar dan tidak tersusun ketika itu, dapat bersatu mengatasi pelbagai perbezaan dan kepentingan peribadi semata-mata mahu menjayakan suatu matlamat iaitu menyelamatkan bangsa dan negara ini.
Kejayaan ke atas Malayan Union ini telah melahirkan kuasa politik Melayu. Kuasa politik ini menjadi rahim yang melahirkan kemerdekaan tanah air pada 1957.
Dari kejayaan ini, bangsa Melayu mula belajar bernegara dan mengurus kuasa dengan lebih tersusun, sesuai sebagai sebuah bangsa yang bermaruah dan merdeka.
Kegemilangan ini dinikmati kira-kira lima dekad hingga zaman milenium, sehinggalah kejayaan dan kegemilangan tersebut hilang dicuri dari bangsa ini.
Ia terjadi bukan kerana rampasan kuasa oleh agen asing seperti CIA atau serangan kumpulan militant Sulu, bukan! Tetapi pencurinya adalah pemimpin politik Melayu itu sendiri.
Pemimpin Melayu mencuri
Di alam Melayu, mencuri ini ada pelbagai istilah dan peribahasa seperti “curi ayam” yang bermaksud “menipu dalam permainan”.
“Curi tulang” yang merujuk tentang seseorang yang mengelat semasa bekerja. Semua ini membawa konotasi negatif. Ia berbeza bagi istillah “mencuri hati” yang merujuk kepada perbuatan “memikat hati”.
Mencuri itu satu perbuatan mengambil sesuatu benda atau harta kepunyaan orang lain tanpa izin pemiliknya.
Ia diterima sebagai suatu perbuatan buruk dan hina bagi kita orang yang beragama, bermoral dan bertamadun.
Konsep asas ini rupa-rupanya belum dapat difahami dengan jelas. Sama ada kita keliru, atau tidak berilmu, atau tidak peduli atau kesemuanya.
Sebagai contoh, apabila seorang pemimpin Melayu muslim mencuri wang rakyat dan menggunakan hasil rompakan itu untuk tujuan yang dianggap baik seperti ibadah atau kebajikan, adakah kita akan menghalalkan perbuatan itu?.
Melihat realiti hal ini, orang Melayu gagal menolak perbuatan hodoh oleh Si Pencuri ini. Malah menganggap
Pencuri sebagai ‘Robin Hood’ atau ‘Bossku’. Mereka lupa bahawa hasil pemberian itu dari jalan haram dan pemberian itu adalah harta orang lain.
Kesenangan segera
Albert Einstein yang dikatakan seorang atheis berpendapat bahawa dunia ini merbahaya bagi manusia bukan kerana adanya orang jahat tetapi kerana orang baik tidak berbuat apa-apa ke atas orang jahat dan kerja-kerja jahatnya.
Dalam sejarah Islam juga ada diriwayatkan kisah sahabat yang sama berperang dan mati tetapi bukan syahid kerana Nabi SAW mengatakan sahabatnya itu telah mengambil sehelai selendang sebelum nabi membahagikan ghanimah. Bermaksud sahabat itu mengambil sesuatu tanpa izin (mencuri).
Hari ini mencuri bukan lagi dengan memakai topeng muka dan memecah masuk dimalam hari.
Pada zaman ini, aktiviti mencuri cukup mudah iaitu melalui kedudukan dan kuasa politik. Mencuri cara ini memberi kesenangan secara ‘instant’ iaitu mudah dan pantas. Bangsa mana yang menolak untuk hidup senang secara ‘instant’?
Apabila kesenangan ‘instant’ ini menjadi cara hidup, maka proses mencari kemajuan dan kesenangan diri telah hilang. Apabila proses mujahadah mencari kemajuan atau kesenangan diabaikan maka integriti telah hilang.
Dalam budaya Melayu, integriti ini sinonim kepada ‘amanah’. Amanah pada kuasa, amanah pada kerja dan amanah pada moral telah hilang atau tak diperlukan lagi.
Jika ‘amanah’ ini sebuah mesin mencetak wang, pasti ‘amanah’ ini akan dimiliki oleh setiap orang daripada kita kerana ia penting untuk mencetak wang bagi keperluan hidup kita. Beginilah pemikiran kita kesan daripada pecah amanah kuasa politik.
Melayu hari ini semakin hilang kekuatan politik, lebih menyedihkan mereka juga tiada kekuatan ekonomi kerana wang yang dimiliki itu bukan datang dari proses mencipta kekayaan, sebaliknya dari sumber pencurian.
Pemimpin yang mencuri ini telah merampas kegemilangan negara yang telah kita nikmati sejak lima dekad lalu. Pemimpin Melayu ini tidak amanah dan tidak mengajar erti amanah.
Justeru jawapan kepada soalan – adakah naratif hari ini masih sama? Ya, naratifnya masih sama iaitu kuasa politik Melayu semakin hilang kerana dirampas dan dicuri.
Dahulu dirampas oleh penjajah British tetapi hari ini dicuri oleh pemimpin melayu yang durjana dan tidak amanah.
Adakah Melayu perlu lagi bersatu? Ya, Melayu yang baik dan amanah perlu bersatu menolak pemimpin Melayu pencuri.
Bersatu untuk melawan apa dan siapa? Kita bersatu untuk melawan kumpulan Melayu yang berkhianat. – 8 Oktober, 2022.
* Mahdzir Ibrahim, Timbalan Ketua Penerangan GTA
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen