Hikmah daripada Malayan Union


BAGI saya bangsa Melayu mula berpolitik secara massa dan sistematik ketika bermulanya penentangan terhadap gagasan Malayan Union 1946. 

Hikmah daripada penolakan gagasan Malayan Union ini ialah penyatuan bangsa Melayu merentasi etnik, kenegerian dan status sosial.

Jika ditakdirkan ketika itu bangsa Melayu tidak bangkit bersatu, Semenanjung Tanah Melayu yang kita diami ini mungkin akan menjadi seperti tanah Palestin. 

Contoh paling dekat lihat saja Singapura. Hanya lagu kebangsaan yang dinyanyikan dalam bahasa asal sebagai sisa kenangan daripada bangsa Melayu.  

Malayan Union ibarat hujan yang turun dengan lebatnya hingga memaksa bangsa Melayu berenang menyelamatkan diri dari ditenggelamkan oleh bah ini. 

Titik inilah bermulanya aksi bangsa Melayu dalam politik dengan lebih tersusun sebagai persediaan untuk mentadbir sebuah negara.

Ketika penentangan ke atas gagasan British ini berlaku, bangsa Melayu belum mempunyai parti politik yang tersusun seperti hari ini. 

Pada era itu yang ada hanyalah kesatuan atau persatuan (NGO) Melayu yang terpencar-pencar seperti Kesatuan Melayu Singapura, Perak, Johor dan negeri-negeri yang lain.

Dengan kesedaran untuk melawan Malayan Union inilah telah menarik penglibatan badan masyakarat dan individu tersebut untuk berpakat hingga membentuk satu gabungan ketumbukan politik massa yang kuat.

Perkumpulan ini hanya diikat berdasarkan kerjasama antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk tokoh-tokoh masyarakat (NGI). 

Situasi itu saling tak tumpah seperti Gerakan Tanah Air (GTA) pada hari ini yang mana GTA juga bergerak bersama-sama dengan NGO dan NGI selain dari parti politik.

Dari perspektif yang lain, tidak timbul isu ‘perkauman’ dari kumpulan masyarakat bukan Melayu, malah British sebagai musuh politik juga tidak melabel penentangan orang-orang Melayu ini sebagai ‘rasis’.

Namun berbeza pada hari ini apabila kemunculan GTA dianggap oleh sesetengah pihak sebagai parti yang berteraskan assobiyah (perkauman). 

Bagi saya, dakwaan ini hanyalah satu pandangan yang stereotaip atau klise yang penuh dengan retorik.

Ketika itu, tidak kira anda persatuan Melayu dari negeri mana, kumpulan pemuda Melayu beraliran apa atau pertubuhan kaum ibu yang mana, semua itu tidak penting kerana semuanya telah nekad untuk bersatu dan melawan kuasa besar British demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Namun, adakah naratif hari ini masih sama? 

Adakah Melayu perlu lagi bersatu? 

Bersatu untuk melawan apa dan siapa? – 6 Oktober, 2022.     

* Mahdzir Ibrahim, Timbalan Ketua Penerangan GTA 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen