Malaysia berpotensi capai pertumbuhan produktiviti lebih kukuh, kata laporan MOF


MALAYSIA berpotensi tinggi untuk mencapai pertumbuhan produktiviti yang kukuh selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat, ini sejajar dengan tindakan kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengukuhkan produktiviti negara.

Ini termasuk mempercepat peralihan kepada teknologi digital, melaksanakan pembangunan bakat yang berkesan, memperkukuh kerjasama awam-swasta, menerima pakai amalan peraturan kawal selia yang baik dan meningkatkan inovasi yang dapat memangkin pertumbuhan ke arah kemajuan ekonomi.

“Pengukuhan produktiviti Malaysia akan menyediakan asas yang teguh bagi mempercepat momentum pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara pada peringkat global,” kata MOF yang turut memetik rencana hasil kerjasamanya dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam menganalisis cabaran yang menghalang pertumbuhan produktiviti dan daya saing.

Pandemik Covid-19 turut memberi kesedaran mengenai keperluan untuk beralih secara pantas kepada teknologi digital yang merupakan aset penting dalam norma baharu.

Malah, menurut MOF, penerimagunaan digital juga terbukti membantu dari segi menyediakan platform bersesuaian untuk membolehkan semua sektor berhubung dan bekerjasama secara maya bagi meningkatkan produktiviti.

“Kerajaan komited untuk mempercepat penerimagunaan teknologi melalui penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang menyediakan dasar jelas serta teratur mengenai digitalisasi dan teknologi bagi meningkatkan keupayaan kemajuan teknologi selain memacu pertumbuhan ekonomi digital,” katanya.

Bagi pembangunan bakat yang berkesan, MPC telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan berkaitan dalam pembangunan bakat untuk membina tenaga kerja produktif di masa hadapan.

Usaha tersebut akan menangani kekurangan pekerja dan menyediakan peluang kepada pelajar berprestasi rendah dalam sistem pendidikan kebangsaan melalui program khusus seperti “Academi in Factory,” kata kementerian itu. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen