Azmin yakin Perikatan akan jadi kerajaan seterusnya


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali yakin Perikatan Nasional akan mendapat mandat untuk menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2022.

AHLI Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali hari ini memberitahu Dewan Rakyat beliau yakin Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kerajaan seterusnya selepas pilihan raya umum ke-15.

“Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15 adalah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya kepada Parlimen hari ini yang mendapat cemuhan pihak bertentangan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri itu menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (Bagan-PH), yang bertanya kepadanya bagaimana ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diluluskan oleh Kabinet akan dilaksanakan jika sidang Parlimen dibubarkan hari ini atau tidak lama lagi.

Memandangkan CPTPP memerlukan beberapa undang-undang untuk dipinda, Lim bertanya sama ada ia akan mendapat mandat yang sama daripada kerajaan baharu.

Ketika itulah Azmin menjawab bahawa PN akan menjadi kerajaan seterusnya dan mereka akan meneruskan usaha semasa.

Bagaimanapun, Azmin juga berkata usaha membubarkan Parlimen tidak perlu diadakan sekarang.

Katanya, negara memerlukan masa untuk terus pulih dari segi ekonomi.

“Walaupun petunjuk ekonomi semakin baik, kita memerlukan sedikit masa lagi supaya proses pemulihan ekonomi benar-benar dapat memberi kesan positif kepada rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun percaya, mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas PRU15, perlu mengutamakan rakyat dan negara.

Terdahulu hari ini, Azmin berkata Kabinet bersetuju supaya CPTPP diratifikasi.

“Berdasarkan mandat itu, kerajaan secara rasmi menghantar surat cara pengesahan kepada depositori CPTPP iaitu New Zealand pada 30 September.

“Dengan ini, ratifikasi CPTPP untuk Malaysia dianggap lengkap dan ia akan berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 November 2022,” katanya.

Malaysia adalah negara kesembilan daripada 11 anggota yang meratifikasi perjanjian ini, tambahnya.

Ahli lain dalam perjanjian perdagangan bebas, yang asalnya dipanggil Perkongsian Trans-Pasifik, ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

11 negara menandatangani perjanjian itu pada Mac 2018, dan Malaysia adalah negara kesembilan yang telah meratifikasi CPTPP, meninggalkan Brunei dan Chile untuk mengikutinya.

Malaysia berkata penemuan “Analisis Kos-Faedah” menunjukkan bahawa di bawah CPTPP, jumlah perdagangan negara dijangka meningkat kepada AS$655.9 bilion pada 2030.

Jumlah perdagangan negara berjumlah sekitar RM2.2 trilion (A$481 bilion) pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan. – 6 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen