Memerangi rasuah dengan tasawuf


Mohd Syazreen Abdullah

PENGALAMAN kerohanian tidak hanya dirasakan dan dinikmati sendiri, tetapi mesti mengilhami tindakan dalam sejarah. Tasawuf tidak boleh statik dan mundur. Ia bukan ilmu tersembunyi duduk dalam gua. Ia hidup dalam pengetahuan Islam masa kini. 

Islam yang menuruti tuntutan zaman serta mampu membezakan fenomena menyimpang atau merosakkan. Segala unsur tercerai-berai dalam diri manusia dapat dipadukan dengan unsur kerohanian Islam.

Lihat sejarah Islam, pengalaman kerohanian ini mengalami refleksi moral yang mendalam sehingga muncul orang-orang seperti Abu Dzar al-Ghifari yang berperanan mengisi kesolehahan di Madinah sepeninggal nabi. 

Gerakan kerohanian berkembang pesat selama akhir abad ke-1 H/7M dan 2 H/8M. Begitu peranan ulama sufi sekitar akhir abad 1 sampai awal abad ke-2 H/awal abad ke-8M sangat menekankan kepentingan nilai etika yang mendalam terhadap penghayatan agama. 

Hal ini dilakukan tokoh sufi seperti Hasan al-Basri. Berkat jasa dan pengaruh kerohanian beliau memberikan kesan mendalam dalam sejarah kerohanian Islam.

Namun, tasawuf mengalami sikap negatif apabila ia berpusat memuja susuk tubuh tokoh sufi. Tidak ada kependetaan dalam Islam (al-ruhbaniyyah) Islam rosak seandainya tasawuf dikenal seperti itu. 

Tasawuf bukan agenda menegakkan susuk individu. Sebaliknya tasawuf sejati menuju ranah tindakan moral atau etika. 

Kunci kesolehan adalah takut kepada Tuhan atau kebertanggungjawaban diri ke atas tujuan moral. Justeru, tasawuf mengembalikan kesahihan pengetahuan Islam sekali gus memacu sistem pemikiran dan keyakinan yang berpandukan falsafah sosial serta bergerak menuju etika kebaikan – membaiki moral masyarakat. 

Kerosakan moral dan rasuah 

Sepanjang sejarah dan sehingga kini, tasawuf mungkin dapat mengubati penyakit manusia moden. Pemikir dan aktivis Islam Murtadha Muthahhari menyebut bahawa kelemahan sifat pada diri manusia memerlukan kepada sistem akhlaki atau etika – kerohanian. 

Tanpa sokongan sistem etika boleh menyebabkan kerosakan pada diri manusia dan masyarakat yang didudukinya. Seperti masalah Muslim moden hari ini yang gagal menghubungkan kerohanian agama terhadap diri dan jalinannya kepada kehidupan masyarakat. 

Lihatlah hari ini, Muslim yang beribadat tetapi mengamalkan rasuah. Muslim yang  tahu bahawa haram hukum makan daging babi. Ironinya, tidak menjadi haram makan rasuah sebagaimana haramnya daging babi. Sedangkan rasuah itu dosa besar dan dimurkai Tuhan. 

Perangai mereka ini tidak ubah semacam golongan munafik.

Dalam hadis nabi bersabda: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya, maka ia adalah munafik yang tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya; (empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercerita, ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar, ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang basah)” (H.R. Ahmad).

Hadis ini menggesa  sikap amanah sebagai sifat yang berintegriti dan mengecam sifat-sifat orang munafik yang tidak amanah (khianat) sekali gus tidak berintegriti.

Maka, tasawuf merawat kejahilan sikap manusia hipokrit, munafik dan tidak punya integriti. Orang munafik mengaku beriman dengan ajaran Islam, tetapi hakikatnya tidak beriman. 

Tasawuf mengembalikan manusia kepada ajaran Islam fitri – menyucikan hati daripada segala kekotoran maksiat dan penyelewengan ibadah. 

Tasawuf sebagai kompas moral yang harus dimiliki semua orang bagi melewati perangkap hasutan dunia durjana. Ia ubat segala maksiat. Termasuk maksiat rasuah. 

Ajaran Islam komited mengukuhkan kesatuan, sosial, politik, ekonomi dan etika. Bagi tasawuf, mencapai cita-cita Islam yang hakiki adalah dengan berlandaskan sifat etika, integriti dan amanah. 

Oleh kerana itu, membina masyarakat berintegriti harus dimulai dengan pemantapan jiwa peribadi insan. Seseorang tidak boleh melakukan kebaikan sebelum dirinya dahulu menjadi baik. Begitu juga dalam mewujudkan masyarakat yang integriti dan benci kepada  amalan rasuah. Ia bermula daripada individu yang benci rasuah.

Maka penting untuk mendidik masyarakat kita mengenai kepentingan soal moral etika dan melawan rasuah. Sebagaimana pelajaran akhlak mulia yang telah tertuang dalam inti pati kitab-kitab tasawuf. Bahkan fenomena dosa rasuah ini bukan hal yang kecil. 

Menurut Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair bahawa kesalahan rasuah ditafsirkan sebagai dosa besar yang dilaknat Tuhan.

Hal ini juga telah dititahkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah baru-baru ini bahawa segala kemunduran yang terjadi adalah kerana rasuah. Kemiskinan terus merebak dan banyak kerosakan berlaku jika budaya rasuah tidak dibendung. 

Titah baginda lagi apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras budaya rasuah, lalu tumbuh menjadi norma sehingga ia meresap dalam budaya masyarakat. Akhirnya memusnahkan negara.

Jelas kerosakan moral dan budaya rasuah dalam masyarakat bukan hal yang remeh temeh. Jadi bagaimana tasawuf dapat memupuk masyarakat untuk benci kepada amalan rasuah?

Tasawuf akhlak

Sultan Nazrin juga bertitah perlu ramai murabbi umat tampil berani membawa mesej memerangi gejala rasuah. Para murabbi harus ada sikap melawan dan mengajak masyarakat supaya  terus menerus membenci amalan rasuah. 

Topik memerangi rasuah dan kesannya kepada kemunduran masyarakat harus rancak dan selalu menjadi agenda utama dalam kuliah, serta khutbah agama. Cukuplah dahulu mengajar dan mendidik masyarakat tentang soal fikah taharah yang tidak habisan. Krisis rasuah ini lebih lagi utama. 

Sebaliknya, didik mereka tentang tasawuf akhlaki. Rangsang dan gerakkan hati mereka untuk membenci rasuah. Buka minda masyarakat mengenai keluasan perspektif tasawuf dalam memerangi dosa rasuah. Bukan tasawuf menyangkut soal keikhlasan beribadah dan pemeliharaan hati sahaja. 

Demikian sebagaimana menurutnya lagi, para murabbi sangat berperanan untuk menyebarkan kesedaran kerohanian dan moral. Jelas mesej baginda mahu ajaran kerohanian Islam berpaksikan nilai akhlak dan etika diajar menyeluruh kepada masyarakat. Ajaran tasawuf akhlaki harus dikedepankan dalam memerangi amalan rasuah.

Bahkan kitab-kitab tasawuf Imam al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin itu menumpukan sudut keperibadian menjadi Muslim berakhlak. Hubungan Muslim dari sudut kemanusiaan sehingga soal etika masyarakat. Sudah tentu tujuan kitab ihya mahu menghidupkan jiwa dan karakter Muslim yang berintegriti dan amanah. 

Dalam ihya, al-Ghazali sekali lagi menyimpulkan nilai-nilai watak seorang Muslim dari sudut perspektif tasawuf.  Tentu sekali, seorang Muslim yang berakhlak harus mempunyai sifat seperti al-ikhlas, al-sidq, dan al-amanah. 

Sedangkan perasuah tidak ada sifat tersebut. Rasuah bukan hanya soal dosa, tetapi ia mengundang segala kezaliman dan kerosakan. 

Sedarlah, masyarakat Melayu Islam hari ini telah dilanda krisis rohani yang sangat serius. Memerangi rasuah adalah ibadah fardu ain semua manusia. Kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah sekiranya kita diam dan membisu melihat rasuah berleluasa. 

Imam al-Nawawi (676 H) meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” (al-Minhaj Syarah Sahih Muslim)

Jangan diam daripada kebenaran! – 6 Oktober, 2022.     

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen