Kementerian ambil langkah kurangkan risiko banjir, kata Tuan Ibrahim 


Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Jabatan Pengairan dan Saliran telah meningkatkan kesiapsiagaan untuk musim MTL dengan menyedia dan menambah baik aset-aset jabatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022.

LANGKAH jangka panjang melalui pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan diteruskan bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebanyak 100 projek RTB  bernilai RM10.53 bilion yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Pelaksanaan projek-projek RTB akan meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir serta pertambahan keluasan kawasan yang terjejas sebelum ini,” katanya menjawab soalan Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) mengenai pelan dan perancangan awal kerajaan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar berikutan fenomena La Nina, monsun timur laut (MTL) dan taburan hujan luar jangkaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memberi fokus kepada kerja-kerja penyelesaian jangka pendek yang bersifat impak tinggi berkos rendah seperti penyelenggaraan saliran, mendalamkan sungai dan meninggikan benteng sungai bagi mengurangkan impak banjir.

Menurutnya JPS telah meningkatkan kesiapsiagaan untuk musim MTL dengan menyedia dan menambah baik aset-aset jabatan termasuk penyediaan 284 pam, 203 kenderaan dan 35 bot, 995 stesen telemetri di Semenanjung serta 317 stesen di Sabah, Sarawak dan Labuan selain 526 siren amaran.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata pendekatan bukan struktur dalam perancangan pengurusan banjir seperti Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) turut dilaksanakan.

Katanya PRAB Fasa 3 bernilai RM450 juta akan melengkapkan 74 model ramalan dan amaran banjir bagi lembangan-lembangan sungai utama yang berisiko di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan akan berlaku sepanjang musim MTL dari November ini sehingga Mac 2023. 

Katanya negeri-negeri pantai barat juga boleh mengalami hujan berterusan sekiranya luruan monsun ini meningkat serta adanya sistem tekanan rendah seperti tahun lepas. – Bernama, 5 Oktober, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen