Jangan letak syarat Puteri Gunung Ledang kalau hendak kerjasama, kata Tuan Ibrahim


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan berjumpa dengan pimpinan Umno untuk berbincang mengenai syarat yang ditetapkan oleh presiden parti berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2022.

UMNO tidak boleh letak “syarat Puteri Gunung Ledang” sekiranya mahu bekerjasama demgan parti lain, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Syarat yang berat tidak akan memenuhi hasrat untuk bekerjasama, katanya, mengulas tiga syarat yang diletakkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada PAS.

“Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya, seperti dipetik oleh Free Malaysia Today.

Semalam, Ahmad Zahid berkata ada tiga perkara yang perlu PAS penuhi jika mahu bekerjasama dengan Umno. Syarat itu beliau sampaikan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Tiga syarat itu ialah PAS mesti meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka berpisah seratus peratus daripada PN dan Bersatu.

Menurut Ahmad Zahid, jika tiga perkara itu PAS penuhi, Umno akan berunding untuk kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS akan berjumpa dengan pimpinan Umno untuk berbincang mengenai syarat yang ditetapkan oleh Ahmad Zahid.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu bila perbincangan itu akan dibuat.

Dalam satu kenyataan berasingan lewat malam tadi, Ahmad Zahid berkata usaha untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) mesti berpandu pada prinsip dan semangat piagam asal yang Umno dan PAS meterai.

PAS memeterai kerjasama dengan Umno atas nama MN pada September 2019 ketika dua parti Melayu itu jadi pembangkang dan ketika PH masih kerajaan.

Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS bersama Bersatu dan dua parti di Sabah membentuk PN yang diterajui Muhyiddin.

Sejak itu, hubungan PAS dan Umno mula renggang dan kerjasama atas nama MN kemudiannya berakhir begitu saja.

Sejak beberapa bulan lepas, kedua-dua parti gigih berusaha untuk menghidupkan semula kerjasama itu, termasuk melalui pertemuan presiden kedua-dua parti. – 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen