Azmin sedia lawan Anwar di Gombak, Rafizi mahu pertahan kerusi Pandan


Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali mengingatkan orang ramai tentang peristiwa yang didakwanya sebagai pengkhianatan Anwar sendiri kepada pengundi, seperti 'Langkah Kajang' yang gagal dan pilihan raya kecil Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

PEMIMPIN Bersatu Azmin Ali berkata beliau bersedia untuk berdepan Anwar Ibrahim atau mana-mana ahli keluarganya di kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu tidak menamakan sesiapa tetapi dipercayai merujuk kepada ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Anwar sebelum ini berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan pengkhianat yang meninggalkan PKR dan Pakatan Harapan bagi menyertai kerajaan Perikatan Nasional ketika Langkah Sheraton.

Azmin mengingatkan orang ramai tentang peristiwa yang didakwanya sebagai pengkhianatan Anwar sendiri kepada pengundi, seperti ‘Langkah Kajang’ yang gagal dan pilihan raya kecil Port Dickson.

‘Langkah Kajang’ adalah untuk membuka laluan kepada Anwar bertanding di kerusi DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor manakala pilihan raya kecil Port Dickson diadakan untuk memberi laluan kepada ketua pembangkang itu kembali ke Parlimen selepas diberi pengampunan.

“Rakyat Malaysia, mesti ingat. Sejarah tidak boleh dipadamkan,” kata Azmin dipetik Malay Mail pada majlis pelancaran mesyuarat bahagian Bersatu dan jentera pilihan raya negeri Selangor hari ini.

Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton ialah Azmin (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pada satu majlis di Pulau Pinang berkata beliau mahu bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada PRU15 yang dimenanginya pada 2013.

Beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 kerana sedang membuat rayuan berkaitan hukuman penjara 30 bulan kerana membocorkan butiran kewangan National Feedlot Corp.

“Saya menyatakan dengan jelas, saya mahu mempertahankan Pandan, sementara menunggu keputusan parti.

“Ini kerana saya boleh berkempen dengan lebih berkesan di peringkat kebangsaan untuk calon PKR jika saya berdiri di Pandan di mana kita mendapat sokongan yang sangat baik dan cukup mantap,” katanya dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Wan Azizah mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 52,543 undi pada pilihan raya lalu. – 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen