Menteri Opec+ adakan pertemuan bersemuka pertama sejak 2020 


OPEC+ adalah terdiri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2022.

MENTERI-menteri minyak OPEC+ akan bertemu di Vienna pada 5 Oktober untuk membincangkan strategi pengeluaran masa depan, menurut kenyataan dikeluarkan organisasi itu pada Sabtu.

Pertemuan bersemuka peringkat menteri OPEC+ itu adalah yang pertama diadakan sejak Mac 2020 berikutan sekatan Covid-19, lapor Xinhua.

Pelabur menunggu keputusan mesyuarat OPEC+ minggu depan, berikutan kejatuhan harga minyak baru-baru ini disebabkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dan penguncupan permintaan.

Kedua-dua minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent merosot daripada paras tertinggi lebih AS$120 setong pada Jun kepada kira-kira AS$80 setong.

OPEC+ yang terdiri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, mengurangkan pengeluaran minyak secara besar-besaran pada 2020 apabila pandemik Covid-19 menjejaskan permintaan.

Kumpulan itu mula meningkatkan semula pengeluaran pada Julai 2021 memandangkan pasaran semakin pulih.

Pada mesyuarat terakhir peringkat menteri yang diadakan awal September, OPEC+ mengumumkan pemotongan kecil pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari untuk Oktober, pemotongan yang pertama dalam tempoh lebih setahun, untuk mengawal kemerosotan harga minyak mentah. – Bernama, 2 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen