Malaysia sokong usaha Opec+ kekal kestabilan pasaran minyak global, kata menteri


Menteri ekonomi Mustapa Mohamed berkata sejak Deklarasi Kerjasama diperkenalkan, negara anggota Opec+ telah menjalin kerjasama erat yang mendorong kepada kestabilan pasaran minyak global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2022.

MALAYSIA hari ini menyatakan komitmen untuk terus menyokong Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (Opec+) dalam usaha proaktif bagi mengekalkan kestabilan pasaran minyak global berikutan ketidaktentuan semasa yang ketara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata pasaran minyak global masih tidak menentu berikutan faktor-faktor seperti keadaan pasca pandemik, peningkatan tekanan inflasi, kebimbangan mengenai kekurangan makanan, cabaran geopolitik serta perkembangan berkaitan iklim di negara-negara ekonomi utama.

“Menerusi Deklarasi Kerjasama (DoC) yang dimeterai pada 10 Disember, 2016, Opec+ mempunyai mekanisme mantap bagi menangani cabaran pasaran, termasuk sistem pelarasan pengeluaran minyak yang terbukti berkesan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata sejak DoC itu diperkenalkan, negara-negara anggota Opec+ termasuk Malaysia telah menjalin kerjasama erat yang mendorong kepada kestabilan dalam pasaran minyak global.

“Malaysia juga percaya kerjasama erat seumpamanya perlu diteruskan apalagi dalam keadaan kita berkemungkinan berdepan ketidakpastian ketara dalam pasaran tenaga,” katanya.

Setakat petang ini, minyak mentah Brent berada di paras AS$100.10 setong. – Bernama, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen