PM akan menghadap Agong untuk bubar Parlimen tidak lama lagi, kata Umno


Alfian Z.M. Tahir

MALAYSIA akan mengadakan pilihan raya sebaik sahaja Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan malam ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung selama dua jam bagi membincangkan perkara itu.

“Pembubaran Parlimen akan dibuat tidak lama lagi dan pilihan raya akan diadakan tahun ini. Perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini selaras dengan pendirian Umno bahawa mandat harus dikembalikan kepada rakyat bagi menubuhkan kerajaan yang stabil berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan akibat krisis dalaman sendiri pada 2020,” katanya pada sidang media.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata dengan konsensus Majlis Tertinggi Umno malam ini, jentera pilihan raya parti di seluruh negara telah diminta bersiap sedia.

Terdahulu hari ini, The Malaysian Insight melaporkan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan memutuskan tarikh kemungkinan pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum, berkemungkinan pada November.

Sidang Parlimen seterusnya bermula pada Isnin hingga 29 November, dengan Bajet 2023 akan dibentangkan pada hari Jumaat, namun dijangka Parlimen akan dibubarkan seawal 12 Oktober.

“Parlimen akan dibubarkan pada minggu kedua Oktober dan pengundian akan diadakan sebulan selepas itu,” kata pemimpin Barisan Nasional (BN) kepada The Malaysian Insight yang enggan namanya disiarkan.

Pada tengah hari, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin memuat naik gambar di Facebook yang menunjukkan lima pemimpin tertinggi parti itu bermesyuarat untuk membincangkan tarikh kemungkinan pilihan raya.

Ismail yang juba merupakan naib presiden Umno, turut hadir.

Turut kelihatan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan dan seorang lagi naib presiden, Mahdzir Khalid.

Ahmad berkata majlis itu juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan siasatan terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas atas dakwaan salah guna kuasa

Beliau mendedahkan bahawa parti itu menuntut pasukan petugas khas mendedahkan hasil siasatan kepada umum.

“Dedahkan hasil siasatan itu kepada umum kerana rakyat berhak mengetahuinya,” katanya.

Ismail hari ini berkata siasatan akan dijalankan terhadap Tommy Thomas di bawah undang-undang yang mengawal hasutan, rahsia rasmi serta komunikasi dan multimedia.

Seksyen 124(1) dan 203A kanun keseksaan juga akan digunakan, katanya.

Pada Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kehakiman yang didakwa dalam buku Tommy Thomas telah mengenal pasti 19 isu yang memerlukan perhatian kerajaan segera.

“Ia akan dibentangkan kepada kabinet dan kita perlu memutuskan tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi tidak menyatakan sama ada laporan itu akan didedahkan kepada umum. – 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen