Tommy Thomas akan disiasat berhubung dakwaan dalam bukunya, kata PM


Bekas peguam negara Tommy Thomas menerbitkan bukunya,“My Story: Justice in the Wilderness” tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

BEKAS peguam negara Tommy Thomas akan disiasat berhubung dakwaan yang dibuat dalam bukunya, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri dalam satu kenyataan berkata siasatan akan dijalankan, antara lain, di bawah di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Pasukan itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan,” kata Ismail.

Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kehakiman yang didakwa dalam buku Thomas telah mengenal pasti 19 isu yang memerlukan perhatian kerajaan segera.

“Ia akan dibentangkan dalam kabinet dan kita perlu memutuskan tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi tidak menyatakan sama ada laporan itu akan didedahkan kepada umum.

Pasukan khas itu dipengerusikan oleh penasihat undang-undang Sarawak dan bekas peguam besar Sarawak Fong Joo Chung, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai sekretariat.

Pasukan khas itu terdiri daripada bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Hashim Paijan dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Junaidah Kamaruddin.

Anggota lain pasukan itu ialah bekas hakim dan bekas peguam kanan persekutuan Jagjit Singh Bant Singh, peguam Shaharudin Ali dan Balaguru Karupiah, serta wakil dari Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Pencegahan Rasuah serta Ketua Pejabat Keselamatan Kerajaan.

Thomas menerbitkan bukunya,“My Story: Justice in the Wilderness” tahun lalu.

Ia mendapat banyak kritikan, termasuk daripada Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang ramai, dengan tuduhan menghasut, menghina dan memfitnah.

Lebih 100 laporan polis dibuat berhubung buku itu. – 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen