Taufan Noru melanda Vietnam


Pokok tumbang akibat taufan Noru yang melanda pantai tengah Vietnam pada awal hari ini. – Gambar EPA, 28 September, 2022.

TAUFAN Noru melanda pantai tengah Vietnam pada awal hari ini yang membawa angin kencang dan hujan lebat menyebabkan ratusan ribu orang terpaksa berpindah ke tempat perlindungan.

Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangunan tinggi bergegar dalam tiupan kuat yang menumbangkan pokok dan merosakkan bumbung rumah di seluruh wilayah tengah. Bekalan elektrik juga dilaporkan terputus.

“Kedudukan pusat taufan pada 4 pagi 28 September adalah antara Danang dan Quang Nam.

“Kelajuan angin antara 103 dan 117 kilometer,” kata Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan.

Lebih 200,000 orang di Vietnam berpindah ke tempat perlindungan selepas pengkaji cuaca meramalkan ribut itu akan menjadi salah satu yang terbesar melanda negara Asia Tenggara itu.

Kelajuan angin lebih perlahan daripada yang dikhuatiri pada awalnya, tetapi peramal berkata hujan lebat akan berterusan dan memberi amaran tentang tanah runtuh dan banjir yang serius.

Kementerian pertahanan menggerakkan sekitar 40,000 askar dan 200,000 anggota militia dilengkapi dengan kenderaan berperisai serta bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan bantuan, kata media kerajaan.

Hampir separuh daripada lapangan terbang di Vietnam ditutup termasuk sekolah, pejabat di beberapa wilayah tengah termasuk di Danang dan penduduk bergegas pulang ke rumah semalam.

Bahagian tengah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial Ho Chi Minh City di selatan juga ditutup.
Kejadian itu berlaku selepas Taufan Super Noru melanda Filipina awal minggu ini, mengorbankan enam orang.

Pihak berkuasa berkata lewat Selasa mereka memindahkan hampir 260,000 orang dari rumah termasuk di bandar pelancongan popular Hoi An di mana penduduk dibawa ke sebuah sekolah rendah.

Sebanyak 300 bumbung rumah di wilayah pesisir pantai Quang Tri diterbangkan ribut pada lewat Selasa apabila angin mula bertambah laju. 

Di Hue pokok-pokok tumbang. Di Danang semua kedai dan hotel ditutup, manakala penduduk dilarang keluar.

Noru melanda pulau Luzon Filipina pada hari Ahad dan Isnin, menumbangkan pokok, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan banjir.

Lima anggota penyelamat terbunuh selepas dihantar membantu penduduk manakala seorang lagi maut selepas ditimpa tanah runtuh. 

Pegawai menganggarkan kira-kira $2.4 juta nilai tanaman telah rosak. – AFP, 28 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen