Semakan kes SRC disebut 21 Oktober ini, lapor media


Muhammad Shafee Abdullah kembali wakili bekas perdana menteri Najib Razak untuk semakan kehakiman sabitan dan hukuman kes SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 21 Oktober ini untuk pengurusan kes permohonan Najib Razak meminta mahkamah menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM270 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya serta mengekalkan sabitan dan hukuman pada 23 Ogos lepas.

Tarikh pengurusan kes itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika sebutan kes satu lagi perbicaraan jenayah ke atas Najib di Mahkamah Tinggi, hari ini, lapor Astro Awani.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah juga mengesahkan beliau akan kembali mewakili Najib dalam semakan kehakiman itu.

“Saya kembali untuk mewakili Najib, meskipun berlaku sedikit kekecohan ketika pendengaran rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan bulan lepas,” katanya kepada Hakim Zaini Mazlan.

Shafee memberitahu mahkamah permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 6 September dan pihaknya juga sudah memfailkan notis perakuan memohon tarikh pendengaran segera.

“Saya jangka permohonan itu akan didengar November ini,” katanya.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib terkait tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapati pembelaan Najib terhadap tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pendengaran rayuan akhir itu dikendalikan oleh peguam Hisham Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners selepas Najib memecat Shafee dan firmanya daripada mewakili beliau pada hujung Julai, hampir tiga minggu selepas rayuan didengar.

Mahkamah Persekutuan kemudian menolak permohonan peguam baharu Najib untuk menangguhkan rayuan kerana mereka baharu dilantik.

Hisham kemudian memutuskan tidak mahu terlibat dalam rayuan itu dan tidak mengemukakan sebarang hujah bagi pihak Najib. – 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen