Pesaing dalam talian jejaskan bisnes hotel, kata pemain industri


Khoo Gek San

Hotel bertaraf bintang mempunyai peralatan lengkap dan sistem pemantauan pasaran mereka sendiri, kata pengusaha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

SESUDAH bergelut untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19, industri perhotelan kini berdepan saingan sengit agensi pelancongan dalam talian.

Agensi itu menawarkan perjalanan, hotel serta tiket dan kumpulan ini memberi kesan kepada perniagaan mereka, kata pengusaha hotel.

Hotel bisnes, kecil dan sederhana serta kos rendah tidak mempunyai banyak pilihan selain membabitkan diri dengan pemain dalam talian, atau berisiko menerima sedikit tempahan di tempat mereka.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Sri Ganesh Michiel berkata, walaupun kadar penghunian meningkat kepada 80% sejak dua minggu lalu disebabkan cuti sekolah dan cuti Hari Malaysia yang panjang, pengusaha hotel tidak menjana pendapatan.

“Ya, anda lihat hotel hampir penuh, pelancong menginap di hotel, terutamanya pada hujung minggu, kita semua melihat perniagaan hotel sangat bagus, tetapi biar saya jelaskan, pengusaha hotel tidak menjana wang.”

Saingan sengit dalam kalangan platform agensi pelancongan dalam talian (OTA) menyebabkan keadaan itu katanya, sambil menambah hampir semuanya menawarkan diskaun istimewa.

Sebagai contoh, harga bilik RM200 akhirnya dijual pada harga RM60 selepas diskaun.

“Pengusaha hotel juga perlu membayar komisen antara 17% hingga 20% kepada platform dalam talian, jadi pengusaha hotel benar-benar tidak meraih wang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, jika sesebuah hotel tidak mengambil bahagian dalam promosi, platform itu akan mengeluarkan hotel itu daripada sistemnya, membuka jalan kepada pesaing lain untuk menggantikannya.

Hotel tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk membersih dan mengemas bilik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

Sri Ganesh berkata, selepas wabak itu, ramai pelancong cenderung menempah bilik hotel di platform dalam talian. Ini tidak berlaku sebelum Covid-19.

Selain platform itu, pengusaha hotel menghadapi cabaran lain seperti kos yang lebih tinggi dan pembekal menaikkan harga disebabkan peningkatan kos bahan mentah.

Ini terbukti dalam kes bekalan barang mandian dan syarikat pembersihan.

“Hotel tidak mempunyai pekerja yang mencukupi untuk membersih bilik.”

Pengerusi MyBHA Johor, Jarod Chia berkata, dalam tempoh dua minggu lalu, jualan bilik hotel sangat baik dengan kadar penginapan hampir 80%.

Beliau bagaimanapun bersetuju “sekalipun orang ramai ia tidak bermakna banyak wang diperoleh” kerana hotel terpaksa menurunkan kadar.

Beliau berkata, OTA paling biasa di Malaysia adalah Agoda, Booking.com, Traveloka dan Ctrip International Travel (Malaysia).

“Sejujurnya, OTA membantu hotel meningkatkan populariti dan kadar penghunian mereka. Pada masa sama, pengusaha hotel juga menjana pendapatan.”

Chia berkata, Airbnb juga menjejaskan perniagaan mereka.

Agensi pelancongan dalam talian menjejaskan bisnes hotel terutama hotel kecil dan sederhana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

“Industri perhotelan berdepan kesan besar apabila wabak melanda pada 2020. Sehingga kini, persaingan sengit antara lebih banyak platform menyebabkan kadar bilik menjadi lebih murah. Jika pengusaha hotel tidak mengambil bahagian, mereka kehilangan daya saing.”

Beliau berkata, platform itu akan menasihati pengusaha hotel untuk memberikan sekurang-kurangnya 25% diskaun, supaya ia menarik pelancong untuk memilih.

“Dalam erti kata lain, jika hotel tidak mengambil bahagian dalam program kadar keutamaan, hotel tidak akan mendapat pendedahan meluas di platform. Akibatnya, pelancong akan melihat hotel yang mengambil bahagian dalam program keutamaan terlebih dahulu.”

Ahli persatuan itu dinasihatkan supaya menjauhi platform sedemikian.

Chia berkata, OTA adalah syarikat asing dan tidak membayar cukai tertentu di Malaysia selepas menerima komisen daripada hotel tempatan.

“Hotel bertaraf bintang mempunyai peralatan lengkap dan sistem pemantauan pasaran mereka sendiri. Oleh itu, walaupun terdapat promosi untuk harga hotel lima bintang dan empat bintang, ia tidak akan terlalu rendah, tetapi akan kekal pada tahap tertentu.

“Sebaliknya, hotel kecil dan sederhana tidak mempunyai pilihan selain bersaing.”

Beliau berkata, industri perhotelan sudah membuat cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia dengan harapan mereka dapat membantu memastikan persaingan yang adil.

“Hotel kami perlu memenuhi spesifikasi majlis dan piawaian keselamatan bomba. Kami melabur banyak wang tetapi perniagaan kami perlahan-lahan diganggu platform tidak berlesen.” – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen