Taburan hujan tinggi, risiko banjir, PRU15 tak sesuai tahun ini, kata menteri


Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PRU15 tidak sesuai diadakan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

MENTERI Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan tahun ini disebabkan taburan hujan tinggi dan risiko bencana banjir yang dijangka berlaku pada pertengahan November.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, negara akan menerima taburan hujan yang lebih pada pertengahan November berbanding bulan lain.

“Kalau buat PRU masa ini memang tidak sesuai… Kalau buat PRU, anggota polis kena jaga peti undi, mana hendak jaga keselamatan rakyat yang terjejas akibat bencana banjir lagi. Tambahan pula, jumlah anggota polis tidak cukup untuk tampung semua ini,” katanya.

Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat kebangsaan 2022 dan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, Kedah hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, selain situasi kini tidak mendesak untuk diadakan pilihan raya, PRU15 juga perlu dibuat dan dirancang dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang mudarat dan masalah kepada semua pihak terutamanya rakyat. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen