Kekurangan bekalan telur ayam hanya sementara, kata kementerian


Baru-baru ini terdapat kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan seperti Langkawi, Hulu Terengganu dan Jerantut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

KEKURANGAN bekalan telur ayam di beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini hanya bersifat sementara dan berjaya diselesaikan dalam waktu yang singkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Mohd Yusof berkata masalah teknikal seperti penghantaran lambat dan pesanan tidak dibuat mengikut waktu sepatutnya, dikenal pasti menjadi punca masalah itu.

“Memang baru-baru ini ada kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan seperti Langkawi, Hulu Terengganu dan Jerantut, tetapi penguat kuasa kita segera turun menyiasat selepas mendapat maklumat.

“Masalah yang berlaku berjaya diselesaikan dengan cepat hasil kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Contohnya, jika aduan kehabisan telur pada sebelah pagi, sebelah petang dah ada bekalan balik, tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mneninjau program jualan murah Keluarga Malaysia di Seberang Takir, Terengganu yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu, Azman berkata, pelaksanaan program jualan murah di 2,000 lokasi seluruh negara berjaya memberi manfaat kepada 3.4 juta rakyat berpendapatan rendah.

Menurutnya, program itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang meningkat.

“Setakat 31 Julai lalu rekod jualan seluruh negara adalah RM63 juta, manakala di Terengganu sahaja setakat 18 September lalu adalah RM2.5 juta.

“Saya juga difahamkan di Terengganu setiap Dewan Undangan Negeri diperuntukkan RM25,000 sebulan untuk pelaksanaan program jualan murah dua kali sebulan bagi tempoh 15 Ogos hingga Disember,” katanya. – Bernama, 25 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen