PDRM, KPDNHEP laksana operasi bersepadu ketirisan barangan bersubsidi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket melalui operasi bersepadu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi itu sebagai usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi khususnya minyak masak.

“Satu perjumpaan membabitkan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP diadakan hari ini dan kami bersetuju melaksanakan operasi dengan tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP bagi tindakan lanjut.

“PDRM menyambut baik kerjasama Op Bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran (kenaikan) kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Selain itu, Acryl Sani berkata, pihaknya menerusi Op Kontraban berjaya merampas barangan bersubsidi bernilai RM38,247,518 yang diseleweng bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, rampasan membabitkan minyak masak bernilai RM854,252.

“Usaha bersepadu dengan KPDNHEP satu langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih aktif dalam membendung ketirisan subsidi,” katanya. – Bernama, 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen