Rundingan bawa masuk pekerja Kemboja tak terjejas, kata menteri


Kes warga Malaysia menjadi mangsa penipuan kerja tidak menjejaskan perbincangan bawa masuk pekerja Kemboja, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

KES-KES berkaitan pekerja warga Malaysia menjadi mangsa penipuan di Kemboja yang dilaporkan media sejak kebelakangan ini, tidak menjejaskan perbincangan bagi membawa masuk pekerja dari negara itu ke Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau berkata kes-kes penipuan seumpama itu boleh berlaku di mana-mana negara, bukan setakat di Kemboja sahaja kerana ia di luar jangkaan sesiapa.

“Ia tidak menjejaskan perbincangan kerana disifatkan sebagai kes khas atau terpencil… tetapi kita akan cari penyelesaian secara berhemah,” kata Anggota Parlimen Tapah itu selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Parlimen Tapah di Tapah hari ini yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah Ishsam Shahruddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan pada 9 Sept lepas mengenai 24 rakyat Malaysia berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh Kemboja berjaya diselamatkan dan kembali ke tanah air.

Ogos lepas Timbalan Presiden MIC itu dilaporkan  berkata Malaysia dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah warga Kemboja pada bulan September. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen